Wednesday, August 25, 2010

Abdul Khalid cuba mengalih isu


KUALA LUMPUR 24 Ogos – Kegagalan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang masih belum membuat laporan polis berhubung penemuan kamera perakam video hampir dua minggu lalu, membuktikan Menteri Besar Selangor itu cuba mengalih isu yang dihadapi kerajaan negeri.
Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd. Nazmi Rosli mendakwa, Abdul Khalid cuba mengalih pandangan rakyat daripada isu curi pasir yang berleluasa dan masalah dalaman parti itu yang semakin teruk.
Dakwa beliau, Abdul Khalid seperti memberi ‘bola tanggung’ dengan membayangkan wujudnya pihak ketiga iaitu niat jahat parti lawan bagi melemahkan pentadbirannya sebagai Menteri Besar berkaliber.
Tegas beliau, sekiranya Abdul Khalid ikhlas menuntut kebenaran, sepatutnya beliau perlu menyerahkan perakam itu kepada polis untuk disiasat dengan terperinci dan mencari siapa dalang.
“Biarlah polis siasat kerana Abdul Khalid bukannya penyiasat persendirian, kenapa takut sangat. Mungkin beliau tahu perakam itu mengandungi rakaman pertemuan dan perbualan sulitnya yang tidak mahu sesekali didedahkan kepada umum.
“Atau langsung tiada apa-apa di dalamnya, sekadar untuk mengalih isu, ia mungkin boleh dilihat daripada tindakan Abdul Khalid yang memegang perakam itu dengan tangannya yang sudah pasti akan memusnahkan cap jari dalang sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Nazmi mengulas pendedahan Abdul Khalid baru-baru ini pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco menyatakan telah menemui sebuah kamera perakam video disembunyikan dalam bilik pejabatnya dipercayai untuk mengintip aktiviti harian beliau.
Ekoran itu, UMNO Selangor mencabar Abdul Khalid membuat laporan polis tetapi sehingga kini, beliau masih tidak membuat sebarang laporan.
Sementara itu, Mohd. Nazmi juga percaya perbuatan itu lebih kepada tindakan peras ugut politik yang dilakukan kalangan pemimpin pembangkang yang terdesak merebut kuasa.
Beliau yakin tindakan itu berpunca daripada sikap terdesak untuk menjatuhkan antara satu sama lain bagi memastikan kekuasaan terus berada dalam genggaman pada pemilihan parti hujung tahun ini.
Beliau mendakwa, ia satu usaha terancang pihak tertentu yang mengintip bagi mencari kelemahan Abdul Khalid, sekali gus menggulingkan beliau daripada jawatan Menteri Besar setelah kedudukannya sebagai Pengerusi PKR negeri ditarik balik.
“Abdul Khalid dan Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR negeri kedua-duanya berada dalam dilema, seperti digantung tidak bertali, tidak tahu apa hala tuju masing-masing.
“Abdul Khalid menjadi Menteri Besar tetapi tidak mengetuai PKR negeri, begitu juga Azmin ketuai PKR negeri tetapi hanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri biasa sahaja.
“Secara dasarnya kedua-dua walaupun dilihat seperti berkuasa tetapi sebenar tidak berkemampuan kerana tidak mustahil sebarang keputusan yang dibuat di peringkat PKR negeri boleh ditolak oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Abdul Khalid,” katanya.
Tambah Mohd. Nazmi, Abdul Khalid sememangnya berada dalam keadaan kritikal kerana seperti diketahui umum beliau memang cemerlang sebagai tokoh korporat tetapi gagal sebagai pemimpin politik.
“Abdul Khalid amat bermasalah kerana langsung tidak mempunyai sokongan akar umbi, malah cabangnya sendiri Kuala Selangor telah dibubarkan kerana semua ahli jawatankuasanya meletak jawatan, tidak lagi mempercayai kepimpinannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment