Wednesday, August 25, 2010

Pihak berkuasa tidak peduli?


Bahagian jalan yang rosak teruk akibat tanah mendap di hadapan sebuah tadika di Bandar Sungai Emas, Banting masih tidak mendapat perhatian pihak berkenaan walaupun telah diadukan oleh penduduk sejak beberapa lama.


KUALA LANGAT 24 Ogos – Pelbagai usaha telah dilakukan oleh penduduk Bandar Sungai Emas, Banting terhadap kejadian tanah mendap di kawasan perumahan itu.
Selain kepada pihak berkuasa yang berkaitan, penduduk turut mengadukan masalah itu untuk diketengahkan oleh Utusan Malaysia pada Januari lalu tetapi masih tiada tindakan diambil.
Penduduk mendakwa keadaan tanah mendap itu kini semakin serius ekoran tiada usaha memperbaikinya dilakukan sebelum ini walaupun banyak aduan sudah dibuat.
Malah, kata penduduk, sebahagian daripada jalan utama masuk ke kawasan perumahan itu telah merekah dan terbahagi dua selain berlubang.
Seorang penduduk, Mohd. Fared Saadon, 31, ketika ditemui berkata, penduduk kini sukar untuk menggunakan jalan tersebut disebabkan hanya satu laluan sahaja yang boleh digunakan pada satu-satu masa.
Menurutnya, perkara itu telah diadukan kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berulang kali tetapi sehingga kini tindakan pembaikan masih belum dilaksanakan.
“Saya sudah penat berulang alik ke MDKL tetapi perkara ini sama sahaja, masih tiada tindakan. Saya tidak tahu sampai bila keadaan ini akan dibiarkan berlarutan.
“Pihak MDKL ada memberitahu saya bahawa rekahan jalan di situ adalah akibat kerja-kerja pemasangan saluran pembetungan oleh Indah Water Konsortium (IWK) di bawah jalan berkenaan.
“Apabila saya adukan kepada pihak IWK, mereka mendakwa itu bukan paip mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohd. Fared berkata, jawapan yang diberikan oleh IWK itu bukan sahaja mengecewakan tetapi membuat beliau bingung dan tidak tahu ke mana lagi masalah tersebut patut diadukan.
Katanya, apa yang lebih mengecewakan ialah apabila ahli majlis yang dipertanggungjawabkan di kawasan itu seperti tidak pernah ambil peduli dengan masalah yang dialami oleh penduduk.
Berikutan tiada lagi tempat untuk mengadu di Kuala Langat, Mohd. Fared berkata, dia terpaksa memanjangkan aduan kepada Biro Pengaduan Awam di Putrajaya.
Malah, dia bercadang untuk turut mengemukakan masalah itu kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah supaya beliau dapat datang untuk melihat sendiri masalah penduduk di situ.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Rose Bilog, 44, berkata, dia mendapati rekahan jalan yang disebabkan tanah mendap itu semakin serius sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Tambahnya, sejak ia semakin serius, penduduk di situ hanya menggunakan sebelah jalan sahaja sedangkan laluan itu merupakan jalan utama keluar dan masuk ke kawasan perumahan tersebut.
“Yang lebih membahayakan ialah apabila rekahan jalan yang serius terletak betul-betul di hadapan sebuah tadika, keadaan ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya tetapi juga kanak-kanak yang bersekolah di situ.
“Saya sendiri yang selalu berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal takut untuk menggunakan jalan ini kerana khuatir kenderaan saya akan terjunam ke dalam lubang rekahan tersebut,” ujarnya lagi.
Bagi Mohd. Azmi Ibrahim, 29, pula, keadaan itu sangat membahayakan penduduk kampung itu terutamanya kanak-kanak dan penunggang motosikal.
Ujarnya, jika penduduk kampung mempunyai jalan alternatif lain, mungkin penangguhan pembaikan masih boleh dibenarkan tetapi jalan itu adalah satu-satunya jalan yang menghubungkan penduduk kampung dengan kawasan luar.
“Hendak tidak hendak, penduduk terpaksa melalui jalan yang merekah itu sama ada untuk keluar bekerja, ke pasar atau ke bandar Banting,” katanya.
Namun, apa yang dia lebih risaukan ialah keadaan jalan itu yang gelap dan berbahaya pada waktu malam.
“Bagi mereka yang tidak biasa dengan keadaan jalan di sini, mereka mungkin boleh ditimpa kemalangan dan kecederaan kerana tidak tahu terdapat rekahan dan lubang di situ,” katanya.
Penduduk sangat mengharapkan kerosakan itu dibaiki segera sebelum ada pihak yang menerima padah akibat kelalaian pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment