Wednesday, August 25, 2010

Susilo minta rakyat bertenang




2010/08/25

JAKARTA: Berikutan bantahan sejak beberapa hari lalu, termasuk kejadian membuang najis ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini, kelmarin, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono meminta rakyat republik itu bertenang dan mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran, tetapi mengakui perbincangan mengenai soal sempadan perlu dipertingkat. 

Kita tidak perlu ada budaya menjejaskan hubungan diplomatik setiap kali (ada sesuatu kejadian), kata Susilo selepas mesyuarat Kabinet semalam.Prinsip pertama ialah kita perlu mempertahankan hubungan baik kita, kata beliau.Kenyataan presiden itu dikeluarkan di sebalik tunjuk perasaan berikutan penahanan tiga pegawai maritim Indonesia oleh Malaysia, yang menurut Jakarta berlaku dalam perairan Indonesia dekat dengan Kepulauan Riau. 

Kejadian itu membawa kepada tunjuk perasaan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, termasuk oleh kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). 

Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu melemparkan najis ke dalam pekarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang mengawal ketat di hadapan bangunan itu. 

Mereka turut melumur najis ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu. 
Kumpulan itu sebelumnya membawa lima bungkusan najis, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan kotak polisterin dan dinyatakan sebagai hadiah untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini beberapa kali memberi najis yang lebih kotor kepada Indonesia. Agensi 

No comments:

Post a Comment