Wednesday, August 25, 2010

Bimbang banjir


Oleh Abu Bakar Al Sidek

2010/08/25

TELUK INTAN: Hujan lebat setiap petang menyebabkan kira-kira 50 penduduk di Kampung Batu 8 Changkat Jong, di sini bimbang kemungkinan terpaksa menanggung lebih banyak kerugian akibat kerosakan harta benda akibat banjir kilat. 

Sebanyak 20 rumah yang terletak bersebelahan jalan utama Teluk Intan-Bidor sering mengalami banjir kilat setinggi 0.3 meter berpunca daripada limpahan air longkang dan saliran yang sebu akibat dipenuhi belukar.Ketua Kampung Batu 8, Ahmad Baharom, 56, berkata air hujan dari puncak Bukit Changkat Jong tidak dapat mengalir dengan lancar kerana longkang di kampung berkenaan turut dipenuhi pasir."Air hujan tersekat dan melimpah masuk ke dalam rumah yang terletak di hadapan longkang dan saliran tali air. 

"Masalah ini sudah menghantui penduduk sejak enam bulan lalu dan mereka sentiasa bimbang apabila hujan lebat," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Ahmad berkata, penduduk berdepan ancaman banjir kilat selepas berlaku hujan lebat sejak enam bulan lalu. 

"Saya sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak minta pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah itu, bagaimanapun ketiga-tiga agensi itu memberi alasan masalah itu bukan di bawah tanggungjawab mereka," katanya. 
Beliau berkata, keliru agensi mana yang bertanggungjawab, beliau memanjangkan masalah itu ke Bahagian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Daerah Hilir Perak yang menyebut semua kerja pembersihan longkang dan saliran sudah diserah kepada syarikat tertentu yang melakukan kerja itu setiap enam bulan sekali. 

"Namun hakikatnya, longkang masih dipenuhi pasir dan salirannya terus dinaiki lalang yang tinggi," katanya. 

Sehubungan itu, Ahmad berkata beliau akan menghantar memorandum kepada Pengarah JKR Perak di Ipoh dalam waktu terdekat supaya masalah itu ditangani segera. 

Pengerusi Masjid Jamek Changkat Jong, Hamidun Mat Rasol, 60, berkata penduduk terbabit terpaksa mengalih harta benda dalam rumah ke tempat tinggi untuk mengelakkan daripada terendam dalam banjir kilat setiap kali hujan lebat. 

Katanya, banjir yang berlaku membawa air bercampur lumpur tanah liat masuk ke dalam rumah dan hanya akan surut selepas tiga jam. 

"Ada penduduk mengalami kerosakan harta benda seperti permaidani kerana lambat dipindahkan kerana banjir kilat berlaku terlalu pantas. 

No comments:

Post a Comment