Wednesday, August 25, 2010

Sultan Kelantan boleh kembali bertugas - Tengku Temenggong


KOTA BHARU 24 Ogos - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra kini boleh kembali bertugas sebagai pemerintah tertinggi negeri dan mengeluarkan titah dari kediaman rasmi baginda di Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini tanpa perlu masuk ke pejabat.
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkata, baginda yang semakin pulih daripada masalah kesihatan, boleh mengeluarkan titah pada bila-bila masa dan wajib dipatuhi segenap rakyat Kelantan.
"Sekarang pun sudah boleh menjalankan tugas seperti yang saya katakan sebelum ini. Sultan bukan macam kontraktor yang perlu pergi ke tapak projek sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kalau kita ambil contoh raja Thailand pun, saya rasa sudah lama di hospital. Mungkin lebih setahun tidak keluar atau jarang-jarang keluar," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pengurniaan Zakat dan Berbuka Puasa Yayasan Tengku Temenggong (YTT) bersama anak-anak yatim di sini malam tadi.
Tengku Muhammad Fakhry mengulas tahap kesihatan Tuanku Ismail yang kini menerima rawatan di kediaman rasmi baginda di Istana Mahkota di sini selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 15 Julai lalu.
Baginda yang mengalami masalah jantung sebelum ini pernah menerima rawatan di hospital tersebut selama hampir sembilan bulan sejak 24 Mei tahun lalu dan pulang ke tanah air pada 4 Mac lalu.
Sejak dihantar ke hospital berkenaan, anakanda sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja untuk menerajui pemerintahan di negeri ini.
Kepulangan Tuanku Ismail bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak mengeluarkan beberapa kenyataan mengelirukan mengenai perkembangan kesihatan baginda menyebabkan kerajaan negeri melantik panel perubatan terdiri daripada 10 pakar perubatan.
Bagaimanapun doktor peribadi baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli seperti dilaporkan sebelum ini berkata, apa-apa laporan kesihatan dikeluarkan barisan panel perubatan itu tidak boleh diterima kerana mereka belum pernah datang memeriksa tahap kesihatan Tuanku Ismail.
Tengku Muhammad Fakhry ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut bersetuju bahawa panel berkenaan tidak pernah menjalankan peranan mereka merawat ayahandanya.
"Saya memang belum terima laporan daripada panel itu mengenai tahap kesihatan baginda. Mereka tidak pernah berjumpa Tuanku walaupun sekali.
"Saya rasa bagi seseorang doktor pun susah mahu menilai pesakit kalau tak jumpa," jelas beliau.
Pada majlis berbuka puasa itu, Tengku Muhammad Fakhry menyampaikan zakat daripada dana YTT kepada 90 anak yatim daripada Pusat Jagaan Tarhah Pengkalan Chepa, Pusat Peka Yatim dan Kampung Yatim di sini.

No comments:

Post a Comment