Wednesday, August 25, 2010

Tun Mahathir setuju AP dihapus


KUALA LUMPUR 24 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dasar permit import (AP) dihapuskan tetapi hanya selepas usahawan bumiputera benar-benar berupaya bersaing dalam industri automotif.
“Tidaklah boleh dasar AP dilaksana sampai bila-bila, (sebaliknya) kena ikut masa. Masanya ialah bila kita sudah kuat, kita tidak perlulah tongkat.
“Tetapi kalau tarik balik masa orang kita belum bersedia, bermakna mereka akan tempang balik,” katanya semasa mengulas rayuan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) terhadap keputusan kerajaan untuk menghapuskan dasar AP pada tahun 2015 di sini semalam.
Dr. Mahathir menerima kunjungan 12 ahli Pekema diketuai Yang Dipertuanya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman dan Timbalannya, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah serta Naib Yang Dipertua, Sharifah Noor Alattas yang memberi taklimat mengenai isu-isu terkini membabitkan usahawan automotif bumiputera.
“Dalam soal dasar AP, yang buruk itu ialah bila dua, tiga orang sahaja yang memperoleh majoriti AP. Sedangkan dasar itu dibuat untuk memberi peluang kepada seberapa banyak mungkin orang Melayu dalam industri automotif,” katanya.
Sementara itu, berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini, Dr. Mahathir berkata, doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri di Pulau Pinang menunjukkan orang Islam di negara ini semakin lemah dan terpaksa menurut arahan pemimpin bukan Islam.
Katanya, kejadian yang banyak berlaku di Asia Barat yang mana orang Islam terpaksa mendoakan kesejahteraan pemerintah bukan beragama Islam kini telah bertapak di Malaysia.
“Budaya kita di Malaysia ialah khutbah Jumaat hendaklah mendoakan kesejahteraan ketua negara yang beragama Islam, tetapi kerana orang Islam telah menjadi minoriti di negeri itu maka ia telah digantikan dengan ketua yang bukan beragama Islam.
“Ini berlaku kerana yang berkuasa bukan orang Islam tetapi orang bukan Islam dan mungkin suatu hari nanti kita dilarang membacakan doa untuk ketua negara orang Islam di negara sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, dalam entri terbaru blog http://chedet.co.cc bertajuk ‘Adakah Merikorasi Tidak Perkauman?’ Dr. Mahathir menyifatkan pendokong meritokrasi sebagai golongan yang bersifat perkauman, sama seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikritik mereka kerana memperjuangkan hak orang Melayu.
Bekas Perdana Menteri berkata, apa yang diperjuangkan oleh golongan yang digelar beliau sebagai `meritokrat' itu adalah lebih teruk berbanding pendokong Malaysian Malaysia kerana mereka memperjuangkan penguasaan satu kaum yang mempunyai lebih merit dalam setiap bidang termasuk pendidikan dan perniagaan.
“Apa yang kita lihat pada masa sekarang bukanlah kempen menentang perkauman, sebaliknya adalah kempen oleh pihak yang mempunyai sifat perkauman terhadap golongan lain yang mempunyai sifat sama.
“Meritokrat mempunyai sifat perkauman sama seperti NGO Melayu dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
“Secara kebetulan apabila menulis mengenai perkara ini, meritokrat yang perkauman akan mengutuk saya kerana mempunyai sifat sedemikian,” katanya.

No comments:

Post a Comment