Sunday, September 19, 2010

Afghanistan tetap mengundi



BARISAN panjang wanita Afghanistan memakai burqa biru dirakamkan ketika menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Kabul, semalam. - AP



KABUL 18 Sept. - Rakyat Afghanistan mula mengundi pada pilihan raya Parlimen hari ini, ketika serangan-serangan dilancarkan dan penutupan beberapa pusat undi oleh pemberontak yang menyaksikan kesukaran pelaksanaan pilihan raya di negara yang sedang berperang ini.
Menurut pegawai, seramai 10 maut dalam tiga serangan roket berasingan beberapa jam selepas pusat pengundian dibuka.
Pilihan raya tersebut yang pertama selepas undian tahun lalu dicemari penipuan, merupakan satu ujian kepada kemampuan kerajaan Afghanistan untuk mengendalikan satu pilihan raya yang selamat dan adil selepas berbulan-bulan menjanjikan pembaharuan.
Bilangan serangan serta jumlah pengundi yang keluar mengundi juga akan menjadi ukuran kekuatan pemberontak, yang berikrar mengganggu proses undian.
Serangan roket menggegar seluruh bandar, yang pertama menghentam ibu negara sebelum waktu subuh, diikuti satu siri serangan roket beberapa jam kemudian di timur Ghazni, Gardez dan bandar Jalalabad, begitu juga di Kandahar dan Nimroz di selatan dan Baghdad di utara.
Jurucakap polis Kamen Khan memberitahu, serangan roket di Baghlan mengorbankan dua nyawa, sementara tiga terbunuh dan seorang cedera apabila serangan roket dilancarkan ke pusat pengundian di wilayah timur Kunar.
Satu serangan bom mortar di wilayah Takhar, utara Afghanistan pula membunuh seorang lelaki dan mencederakan dua anak lelakinya.
Menjelang pilihan raya, Taliban memberi amaran bahawa pengundi yang membuang undi dan sesiapa yang terlibat dengan pilihan raya akan diserang.
Kira-kira 2,500 calon bertanding merebut 249 kerusi di Parlimen.
Di daerah bermasalah Surkh Rud, Nangarhar, Taliban menyekat dua pusat pengundian daripada dibuka tengah hari ini.
Seorang penduduk dikenali sebagai Kasim berkata, kumpulan militan itu meronda di kawasan berkenaan bagi menghalang penduduk daripada membuang undi di mana-mana pusat pengundian.
Bagaimanapun, menjelang petang, ketibaan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tentera Afghanistan menyebabkan anggota Taliban meninggalkan kasawan terbabit, sekali gus membolehkan pusat pengundian dibuka.
Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan hari ini memberitahu, kawalan pada pilihan raya Parlimen kali ini berjalan lancar berbanding jangkaan, di mana beberapa serangan terancang berjaya dilumpuhkan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mohammad Zahir Azimi pada satu sidang akhbar berkata, tiada insiden keselamatan serius berkaitan pilihan raya berlaku walaupun serangan roket menyebabkan dua maut.
"Kedudukan tentera berjaya mengurangkan ancaman pelampau dan kita dapat lihat Taliban gagal mengganggu proses pilihan raya.
"Keadaan ini lebih baik berbanding jangkaan kita," katanya. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment