Sunday, September 19, 2010

Malaysia tidak perlu tunjuk ajar Kuan Yew - Pak Lah


TUN Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Jeanne Abdullah bersalaman dengan orang ramai pada rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Budi Penyayang di Bertam, Kepala Batas, semalam.


KEPALA BATAS 18 Sept. - Malaysia tidak memerlukan tunjuk ajar daripada Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew untuk menguruskan negara ini kerana mempunyai pemimpin yang mampu mentadbir negara mengikut acuan sendiri.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kritikan-kritikan Kuan Yew terhadap sistem pentadbiran negara ini menggambarkan seolah-olah pemimpin tersebut berpandangan Malaysia wajar ditadbir sama seperti Singapura sedangkan kedua-dua negara mempunyai banyak perbezaan yang ketara.
"Setiap negara mempunyai masalah yang perlu ditangani, begitu juga dengan Singapura dan Malaysia. Soal bagaimana setiap masalah itu hendak diselesaikan sudah tentu memerlukan cara yang berbeza kerana Malaysia dan Singapura tidak sama.
"Justeru, Singapura tidak perlu memberi penyelesaian kepada Malaysia bagaimana hendak menguruskan negara kerana kita ada pemimpin yang tahu apa yang perlu dilakukan mengikut cara dan acuan kita sendiri," katanya.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Dewan Milenium di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew dalam akhbar New York Times pada 1 September lalu yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta menyisihkan kaum lain.
Dalam temu bual itu juga, Kuan Yew membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.
Kenyataan Kuan Yew itu dikecam pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya, chedet.co.cc yang melihat kenyataan tersebut tidak berasas sebaliknya mendakwa penyisihan kaum di republik itu lebih teruk.
Abdullah berkata, tuduhan Kuan Yew itu tidak munasabah kerana Malaysia tidak mampu menjadi sebuah negara yang aman malah berdepan pelbagai masalah sekiranya wujud penyisihan terhadap hak-hak kaum tertentu.
Beliau menarik perhatian komposisi kaum di Malaysia dan Singapura yang jauh berbeza dan memerlukan pendekatan yang juga berbeza dari aspek pentadbiran.
"Lihat sahaja dari segi komposisi kaum di Malaysia yang tidak begitu ketara berbanding di Singapura apabila wujud kumpulan majoriti mencecah sehingga 80 peratus, sudah tentu hendak mentadbir kedua-dua negara ini memerlukan cara yang berbeza.
"Kepelbagaian etnik dan komposisi kaum yang agak seimbang di Malaysia memerlukan kerajaan mengurus tuntutan yang berbeza daripada kepelbagaian ini. Saya pernah menjadi menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri, ia bukan sesuatu yang mudah.
"Kita akui beliau (Kuan Yew) berjaya memajukan Singapura tetapi menguruskan sebuah negara bandar seperti Singapura tidak sama menguruskan sebuah negara jauh lebih besar dan mempunyai kepelbagaian kaum seperti Malaysia," tambahnya.

No comments:

Post a Comment