Sunday, September 19, 2010

Zaid lakukan kesilapan besar bersaing dengan Azmin


KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim melakukan kesilapan besar apabila memutuskan untuk bersaing dengan Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu November ini.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, meskipun Zaid menyatakan beliau mendapat sokongan akar umbi, hakikatnya parti itu adalah milik Anwar dan Penasihat PKR itu akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kemenangan Azmin.
Antaranya beliau berkata, Anwar akan memastikan Zaid terpaksa berdepan dengan laluan sukar sebelum pemilihan berlangsung seperti perbuatan mendedahkan keaiban bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut.
“Atas sebab itu, saya sifatkan dakwaan Zaid bahawa beliau mempunyai sokongan akar umbi sebagai amat dangkal kerana PKR tidak pernah berpaksikan akar umbi pada setiap kali pemilihan. Realitinya calon pilihan Anwar akan dipastikan menang.
“Saya percaya banyak lagi aib Zaid yang akan dedahkan oleh penyokong-penyokong Anwar. Sebenarnya dakwaan PKR adalah parti demokrat bertunjangkan rakyat hanyalah retorik semata-mata,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Anuar mengulas pengakuan Zaid mengenai kekuatan yang dimiliki oleh Azmin dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR apabila menjadi calon pilihan Anwar.
Bagaimanapun, Zaid menegaskan persaingan tetap akan berlaku kerana beliau juga mempunyai ramai penyokong khususnya di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan berkaitan Anuar berkata, kegagalan Anwar mengulas dakwaan Azmin bahawa Ketua Pembangkang itu merupakan pengurus kempennya jelas memperlihatkan hubungan istimewa mereka berdua.
Mengulas isu sama, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, Zaid sukar untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu.
“Tiada peluang buat Zaid. Beliau bukan bertanding dengan Azmin sebenarnya tetapi bertarung dengan Anwar. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan memastikan Azmin menang atas tujuan kepentingan peribadinya dan bukan kepentingan perjuangan atau parti.
“Apa makna kepentingan peribadinya? Hanya Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin serta isteri Azmin tahu jawapannya,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment