Tuesday, September 21, 2010

Empat generasi keluarga Aman, Nipis berhimpun

ALOR GAJAH: Seramai kira-kira 300 tetamu memeriahkan Majlis Perjumpaan Dwitahunan Sempena Aidilfitri Himpunan Keluarga Aman dan Nipis Kali Keenam 2010 di Kampung Melaka Pindah, di sini, baru-baru ini.
Penganjur bersama majlis, Majid Ibrahim, berkata majlis itu turut menemukan empat generasi daripada keluarga berkenaan.
“Majlis ini dimulakan sejak 12 tahun lalu secara kecil-kecilan hasil idea daripada saudara-mara yang mahukan satu pertemuan diadakan pada hari raya Aidilfitri bagi merapatkan hubungan antara satu dengan lain.

“Berikutan itu, kami amat bangga apabila majlis ini mendapat sambutan hangat dan peluang ini digunakan untuk saling mengenali terutama saudara-mara yang jauh dan sudah lama tidak kembali ke kampung,” katanya ketika ditemui, di sini.

Pada majlis itu, tetamu dihidangkan dengan makanan tradisi sempena Aidilfitri seperti ketupat, lemang, rendang, dodol, dan kuih-muih serta hidangan lain.

Majid berkata, semangat kerjasama daripada saudara mara generasi berkenaan juga amat dipuji apabila masing-masing bersedia menjadi tuan rumah pada majlis sama yang akan diadakan dua tahun lagi.

“Ini adalah salah satu petanda bahawa majlis seperti ini dapat memupuk persefahaman dan sikap saling bantu membantu,” katanya.

No comments:

Post a Comment