Tuesday, September 21, 2010

Memikirkan pemilihan Parti Keadilan Rakyat


- RAHMAN SHAARI

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan tidak lama lagi. Khabarnya, tokoh tertinggi, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mempertahankan kedudukannya sebagai presiden. Timbalannya yang telah berasa tua, Dr Syed Husin Ali, akan berundur daripada tempat itu. Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding bagi mengambil tempat yang dikosongkan oleh Syed Husin. Khabarnya masih ada calon lain yang akan turut bertanding. 

Sesiapa yang mengikuti perkembangan PKR pasti tahu bahawa parti itu mengalami perkembangannya yang tersendiri. Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (sering juga disebut ketua de facto) tidak akan merebut jawatan presiden. Ini membezakan parti ini daripada parti-parti lain, kerana sungguhpun Anwar tidak bertanding, dia akan selalu ‘menang’. Kita telah melihat pergerakan hebat tokoh ini, bahawa tanpa menjadi ketua yang langsung, dia berjaya menentukan arah PKR. Anwar amat istimewa dalam PKR, dan saya jangka keistimewaan ini tidak mungkin dinikmati orang lain dalam jangka masa 20 tahun akan datang. 

Sesetengah orang menyukai PKR kerana kelainan Anwar. Walau bagaimanapun, Bahagian atau Cabang Arau mencadangkan agar Anwar merebut jawatan presiden. Ini laporan Sunday Star 19 September 2010, “�Datuk Seri Anwar Ibrahim received a nomination from the Arau branch for the post.” Maksud the post dalam konteks itu ialah jawatan presiden. 

Ketika saya menulis makalah ini, saya tidak tahu mengapakah Cabang Arau berbeza. Paling mungkin dan munasabah, ahli-ahli Cabang Arau mengingini demokrasi tulen, iaitu mereka berhasrat agar PKR ditadbirkan secara biasa, bukan secara yang melebih-lebihkan penasihat atau ketua de facto. Jika itu ialah hasrat Cabang Arau, semua ahli PKR wajarlah menerima baik. 

Hasrat untuk melihat demokrasi berjalan secara semolek-moleknya dalam PKR tergambar juga melalui tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mahu bertanding untuk jawatan Timbalan. Beliau tidak mahu orang melihat Azmin Ali sebagai segala-galanya dalam PKR. Mungkin bagi Zaid, keistimewaan kedudukan Anwar sudah cukup, malah sudah lebih, maka janganlah kedudukan Azmin pun menuju ke arah keistimewaan sedemikian. Sesebuah parti politik zaman moden tidak wajar meletakkan seseorang di tempat yang menyamai amalan feudalisme. 

Tanpa hasrat menyebelahi Zaid, saya berpendapat tokoh itu mempunyai kelebihan. Azmin ada keistimewaan sebagai pemimpin istimewa, terutama beliau telah lama bersatu-padu dengan Anwar, sehingga kelihatan tidak terpisahkan, biarpun langit bertangkup dengan bumi. Zaid tidak demikian. Beliau bergantung pada kekuatan peribadinya sendiri, seorang tokoh yang faham betul sistem politik sekular. Beliau telah memaparkan ketegasannya meninggalkan jawatan menteri, dan kemudian memilih parti pembangkang. Ini istimewa, walaupun rahsianya rahsia biasa, iaitu rahsia yang bukan rahsia. 

Bagi orang miskin, ketegasan Zaid meninggalkan jawatan menteri cukup menghairankan, tetapi bagi jutawan, tindakan demikian samalah dengan seseorang membuang beberapa biji kacang. Beliau membuang kacang kerana meminati gajus. Bagi sesiapa yang memiliki wang kurang seringgit sejuta, Zaid ialah pemimpin bernilai sederhana, tidak begitu mundur, dan tidak juga begitu maju. Zaid meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional, menyeberang ke pihak pembangkang kerana (beberapa kali disebutkan) beliau yakin pembangkang memiliki demokrasi tulen. Zaid berhak berfikir begitu, walaupun hakikat dalam diri ketua-ketua parti tidaklah demikian. 

Jika Zaid tidak bertanding sekarang, bilakah masanya beliau akan bertanding? Sesiapa yang berusia melebihi 55 tahun, masa dan usia amat difikirkan. Kita janganlah percaya bahawa Zaid menyertai PKR hanya untuk menolong parti, tanpa memikirkan segi untuk ditolong parti. Kita tahu Azmin, sama seperti Anwar sendiri, berada dalam keuntungan, kerana mereka menolong dan ditolong parti. Kita juga tahu, sejumlah besar ahli parti ialah orang-orang yang bersedia menolong parti, biarpun tidak ditolong parti. Mereka bersedia bekerja tanpa bayaran, kerana mereka menyangka parti ialah sesuatu yang amat baik untuk rakyat. Fikiran demikian tentulah berbeza daripada pemikiran pemimpin, kerana pemimpin memikirkan peningkatan dan pengekalan kuasa. Semua ini tersirat dalam pelbagai teori politik. 

Orang yang paling layak memimpin PKR, malah memimpin Pakatan Rakyat, tentulah Anwar Ibrahim. Walaupun stailnya amat berbeza, beliau tahu menguasai sejumlah manusia yang dipimpinnya, kerana beliau banyak belajar daripada Tun Dr Mahathir Mohammad. Ketika mereka berdua mentadbir negara, kita dapati pertentangan daripada musuh-musuh – dalam dan luar – tidak pernah kuat. Kita dapati pola yang memberikan keistimewaan kepada Anwar adalah berasaskan ilmu daripada Mahathir, dan ilmu itu dipegangnya hingga kini. 

Untuk memahami hal ini, kita hendaklah mempelajari konsep dan pelaksanaan intertekstualiti. Anwar mulai aktif dalam UMNO pada awal dekad 1980-an disebabkan rasa kagumnya kepada kehebatan Mahathir. Sejumlah besar orang Melayu berasa senang hati, gembira dan bersyukur, kerana dua pemimpin yang sukar dicari dalam masa satu atau dua dekad, tiba-tiba bersatu padu dalam sebuah parti politik. 

Kita telah melihat negara berada dalam keadaan sejahtera ketika kedua-dua tokoh itu berbaik-baik. Itu telah menjadi sejarah. Apa yang sedang kita lihat kini, Anwar berada di atas yang lain selaku penasihat dan ketua de facto, satu kedudukan yang tidak pernah dinikmati Mahathir. Ini menunjukkan Anwar telah memperlihatkan kebolehannya menambahkan segi yang tidak diajarkan Mahathir. Mahathir tidak pernah mengambil tempat begitu, biarpun beliau juga berjaya menjadikan dirinya pemimpin yang tidak ditandingi, hinggalah pada 1987. 

Sekarang kita mendapati Anwar berada di kedudukan yang mengatasi presiden. Kata-kata beliau didengari secara sepenuhnya, tanda bahawa beliau di atas presiden. Jika beliau mengenang zaman bahagianya dalam UMNO, beliau pasti terbayang akan kedudukan Dr Mahathir yang tidak ditandingi atas alasan yang lain. Saya yakin, di samping beliau berasa tidak menyenangi Dr Mahathir kerana wujudnya alasan politik biasa, beliau pasti berasa terhutang budi kerana Dr Mahathir memberikan ilmu tinggi kepadanya dalam hal begini. 

Sama ada ahli PKR, ahli UMNO, juga ahli parti-parti lain – seterusnya ahli politik tidak berparti – semuanya sedang menunggu tarikh pemilihan pemimpin baru PKR. Pada masa ini, Zaid Ibrahim dan Azmin Ali terlihat sebagai saling rival, iaitu masing-masing sedang mencari penyokong. Namun, dalam diri mereka, tiada kebimbangan apa-apa, kita yakin, kerana mereka bukanlah daripada kalangan kurang seringgit sejuta, apatah lagi dari kalangan orang miskin yang kurang seribu ringgit sebulan. Mereka berdua, menyamai tokoh-tokoh UMNO dan Barisan Nasional, adalah tokoh-tokoh yang sedang mengejar keselesaan yang berganda-ganda. Oleh itu, pertandingan mereka ialah pertandingan yang tidak begitu berbeza berbanding pertandingan yang membabitkan Nicol David atau Lee Chong Wei. 

Oleh sebab pertandingan dalam politik moden hanyalah seumpama pertandingan sukan, maka eloklah kita mengikutinya dengan jiwa yang tenang. Jika terasa muncul rasa marah, atau tidak senang, eloklah orang Islam mendapatkan ayat al-Qur’an yang sesuai untuk menyembuhkan penyakit hati yang berbahaya. Ingatlah, dalam keseluruhan ruang kehidupan yang amat bermakna, politik amat kecil.

No comments:

Post a Comment