Tuesday, September 21, 2010

Rayuan Anwar ditolak lagi


PUTRAJAYA 20 Sept. – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa ia tiada bidang kuasa untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan pertuduhan liwat yang dihadapinya.
Ketua Pembangkang itu mengemukakan rayuan tersebut atas dakwaan wujud hubungan sulit antara seorang timbalan pendakwa raya dengan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang merupakan pengadu dalam kes itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Maarop memutuskan demikian setelah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan berhubung bidang kuasa mahkamah tersebut mendengar rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Hakim Datuk Azhar Ma‘ah sebulat suara menolak rayuan Anwar tanpa mendengar merit rayuan tersebut.
Ini merupakan percubaan kedua Anwar membatalkan pertuduhan, kali ini atas alasan integriti pihak pendakwaan terjejas berikutan dakwaan hubungan sulit antara Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dengan saksi utama pendakwaan itu.
Kali pertama pula menerusi alasan bahawa pertuduhan tersebut adalah lemah berdasarkan ‘tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau kemasukan ke dubur’, tetapi ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Hakim Ahmad ketika membacakan alasan penghakiman awalnya menyatakan, keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lalu tidak boleh dirayu kerana ia bukan keputusan muktamad.
Menurutnya, mahkamah berpuas hati bahawa keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah itu merupakan perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung dan kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.
Sehubungan itu, panel berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan yang belum dimuktamadkan berdasarkan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964.
Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan esok.
Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden ketika mengemukakan bantahan awal menghujahkan, Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai hak merayu terhadap keputusan belum dimuktamadkan.
Beliau berhujah, pindaan terhadap Seksyen 3 akta tersebut pada Julai 1998 jelas menyatakan, panel itu tiada bidang kuasa mendengar permohonan interlokutori dalam satu-satu perbicaraan yang sedang berlangsung.
Mohd. Yusof menyatakan, keputusan tersebut merupakan bidang kuasa tersirat Mahkamah Tinggi dan segala perintah dibuat merupakan perintah secara prosedural dan ia tidak boleh dirayu.
“Ini bukan bermakna dia (Anwar) tiada peluang merayu, ia boleh dilakukan tetapi tidak ketika perbicaraan sedang berlangsung,” hujah Mohd. Yusof.
Bagaimanapun, Karpal berhujah, keputusan Mahkamah Tinggi itu muktamad dan boleh dirayu kerana ia memberi kesan langsung terhadap kes pendakwaan.
Karpal menyatakan, jika Mahkamah Tinggi ketika itu memihak kepada Anwar dan membenarkan permohonannya, pertuduhan terhadap anak guamnya akan digugurkan dan kesannya menyebabkan keseluruhan perbicaraan terbatal.
Hakim Mohamad Zabidin ketika menolak permohonan Anwar berpuas hati dakwaan mengenai hubungan di antara Farah Azlina dan Mohd. Saiful Bukhari lebih bersifat andaian dan kepercayaan Anwar semata-mata.
Mahkamah berpendapat, afidavit jawapan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria juga jelas menyatakan bahawa peranan Farah Azlina begitu terhad dengan hanya mencatat nota keterangan di mahkamah.
Beliau turut berpuas hati bahawa Farah Azlina tidak pada bila-bila masa mempunyai akses kepada kertas siasatan atau salinan kepada kertas siasatan, selain tidak terlibat dalam sebarang taklimat berhubung strategi pengendalian kes (oleh pasukan pendakwaan).
Berikutan itu, katanya, Mohd. Saiful Bukhari selaku saksi pendakwa pertama (SP1) tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan atau maklumat terkandung dalam kertas siasatan, melalui Farah Azlina.
Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan.
Anwar, 63, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Kes liwat itu akan disebut semula di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, esok.

No comments:

Post a Comment