Tuesday, September 21, 2010

Penipuan pemimpin PKR didedah


KUALA LUMPUR 20 Sept. – Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden berikrar untuk mengadakan sidang akhbar setiap minggu bagi mendedahkan penipuan yang dilakukan pihak tertentu bagi merebut jawatan tertinggi parti itu.
P. S. Jenapala mendakwa, penipuan itu terbukti apabila dua cabang iaitu Batu Gajah dan Bruas di Perak yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan nombor dua tertinggi parti itu telah diarah menarik balik pencalonan kerana beliau dikatakan bukan calon pilihan pihak tertentu.
“Saya akan mengadakan sidang akhbar setiap Isnin sehingga pemilihan selesai pada November ini bagi mendedahkan lebih banyak penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PKR.
“Mereka sebelum ini hanya pandai menuduh Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penipuan ketika pilihan raya.
“Pihak terbabit sudah pasti akan bertindak balas sama ada secara fizikal atau mental untuk menghalang saya, tetapi saya tidak akan berhenti daripada berjuang selagi mana yang boleh,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Jenapala, dua lagi individu yang menawar diri untuk bertanding jawatan itu ialah Naib Presiden, Azmin Ali dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim.

No comments:

Post a Comment