Tuesday, September 21, 2010

Khalid dianggap bantu promosi 'Kamal'


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan tidak sedikit pun terusik dengan tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyiarkan gambar kononnya beliau masuk ke dalam masjid bagi menyampaikan sumbangan kepada umat Islam.
Malah, beliau yang mesra dengan panggilan 'Kamal' di kalangan masyarakat Melayu di kawasannya, berterima kasih kepada Khalid yang dianggapnya membantu mempromosikan aktivitinya dalam laman blog milik Ahli Lujnah Politik Pas Pusat itu.
Tegasnya, beliau yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana telah dididik sejak kecil untuk mengenali dan menghormati budaya masyarakat majmuk di negara ini selain didampingi ilmuwan agama ketika majlis itu berlangsung.
"Sejujurnya, saya tidak ambil pusing dan tidak mahu komen sangat tentang isu ini. Apa pun, terima kasih kepada Khalid kerana sudi mempromosikan aktiviti saya.
"Sangat jarang ahli Parlimen pembangkang mahu memuat naik dan mempromosikan aktiviti Ahli Parlimen Barisan Nasional dalam blog mereka. Mungkin ini satu penghargaan Khalid buat saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khalid dalam entri di laman blognya pada 17 Ogos lalu memuat naik gambar Kamalanathan yang didakwanya berada di dalam Masjid Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor bagi menyampaikan sumbangan kepada umat Islam.
Namun, beberapa blog termasuk http://sejarahmelayu.blogspot.com mendedahkan, gambar dimuat naik Khalid itu telah diedit selain memaparkan beberapa gambar pada majlis sama yang menunjukkan Kamalanathan cuma berada di kawasan ruang legar masjid dan bukannya di ruang solat utama.
Kamalanathan menegaskan, beliau tidak langsung masuk ke ruang solat utama masjid pada majlis itu kerana amat memahami apa yang boleh dan apa yang tidak patut dilakukan apabila berada di kawasan masjid.
Tambahan pula, katanya, beliau didampingi oleh ilmuwan agama terdiri daripada imam dan ustaz di masjid berkenaan.
"Begitu juga dalam satu lagi program gotong-royong di Masjid Felda Soeharto yang dipersoalkan Khalid. Ketika itu, Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa turut serta.
"Jika saya lakukan apa-apa yang tidak sepatutnya, saya pasti mereka akan tegur. Justeru, saya tidak nampak akan timbul sebarang isu dari perkara ini dan saya harap tidak ada lagi pihak yang memutarbelitkan fakta," katanya.

No comments:

Post a Comment