Tuesday, December 14, 2010

2,000 hilang kerja


Omar Osman (dua dari kiri) mengatakan sesuatu kepada wakil 350 pekerja rendah awam di bawah Jabatan Pendidikan Negeri P. Pinang yang bakal ditamatkan perkhidmatan 31 Disember ini di Pulau Pinang, semalam. Sambil diperhatikan Pengerusi CUEPACS Negeri, Mohd. Sayuthi Harun (kiri).


KUALA LUMPUR 13 Dis. - Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan mengatakan terdapat kira-kira 2,000 pekerja rendah awam di sekolah-sekolah seluruh negara tidak disambung kontrak perkhidmatan apabila ia tamat pada 31 Disember ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu bagi memastikan keadilan pekerja tersebut terbela.
"Saya tidak boleh mengatakan perkara tersebut betul atau salah memandangkan pihak kementerian tidak dimaklumkan mengenai masalah tersebut.
"Kementerian akan melakukan semakan dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengesahkan perkara tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden CUEPACS, Omar Osman yang mendakwa nasib kira-kira 2,000 pekerja rendah awam di sekolah-sekolah seluruh negara kini tidak menentu apabila kontrak perkhidmatan mereka yang akan tamat pada 31 Disember ini tidak disambung.
Lebih malang lagi, Omar berkata, kebanyakan mereka termasuk orang kurang upaya (OKU) telah berkhidmat di antara 10 hingga 20 tahun serta mempunyai pelbagai tanggungan.
''Kesemua mereka telah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing mengenai penamatan kontrak perkhidmatan kira-kira tiga bulan lalu,'' kata Omar di Pulau Pinang hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Puad meminta agar mana-mana pihak tidak memperbesarkan isu ini memandangkan perkara tersebut belum ada kesahihannya lagi.

No comments:

Post a Comment