Tuesday, December 14, 2010

Nik Abdul Aziz masih dirawat di HUSM


Nik Abdul Aziz Nik Mat kelihatan sihat dan menjalankan tugas harian di wad Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 13 Dis. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak kelmarin kerana sakit pada bahagian belakang.
Setiausaha Sulitnya, Ahmad Shargowi Derahman berkata, setakat ini keputusan pemeriksaan doktor mengenai penyakit yang dialami oleh Mursyidul Am Pas itu masih belum diketahui.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak pasti bila Nik Abdul Aziz akan dibenarkan keluar daripada hospital berkenaan.
"Bila beliau boleh keluar, bergantung kepada doktor. Bagaimanapun, Menteri Besar akan membuat pengumuman mengenai kesihatannya selepas dibenarkan keluar hospital nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rabu lalu, Nik Abdul Aziz, 79, kelihatan sihat di kediamannya selepas khabar angin menyatakan beliau berada dalam keadaan tenat di hospital.
Khabar angin itu tersebar melalui laman blog dan laman sosial sehingga menyebabkan petugas media berkampung di kediamannya di Pulau Melaka di sini sejak awal pagi tersebut.
Semalam, anak kedua Nik Abdul Aziz, Nik Omar, 45, dilaporkan berkata, doktor telah meminta bapanya supaya 'berehat' di wad selepas menghadiri temu janji untuk pemeriksaan di hospital berkenaan ekoran daripada sakit tulang belakang yang dialaminya sebelum ini.
Nik Omar berkata, berdasarkan keterangan doktor, masalah tulang belakang tersebut berpunca daripada kecederaan lama.
"Ia sebab ayah jatuh kuda dulu, kecederaan belakang memberikan kesan sehingga sekarang. Sehingga kini kita tidak tahu bila ayah dapat keluar wad, mungkin selepas mendapat keputusan imbasan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment