Tuesday, December 14, 2010

87,583 bankrap, 5.1 peratus kerana kad kredit


14/12/2010 4:00pm

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seramai 87,583 individu diisytiharkan bankrap dan daripada jumlah itu, 4,651 atau 5.1 peratus diisytiharkan bankrap kerana terbabit dalam hutang kad kredit sehingga Oktober tahun ini.
Ekoran daripada itu, kerajaan akan berbincang dengan Bank Negara (BNM) bagi mencari penyelesaian berhubung kadar faedah tinggi yang dikenakan kepada pengguna kad kredit hingga menyebabkan lebih 4,000 diisytiharkan bankrap kerana kegagalan membayar hutang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, langkah itu perlu diambil kerana angka yang dicatatkan dipandang serius kerajaan kerana majoriti mereka yang terlibat adalah daripada kalangan generasi muda.
"Semestinya pihak kerajaan akan memandang serius dan saya bercadang akan berjumpa pihak berkenaan dalam mengendalikan isu ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mohamad inginkan penjelasan berhubung tindakan yang akan diambil kerajaan bagi menangani isu itu di mana menurut beliau kira-kira 23 peratus pengguna kad kredit di kalangan generasi muda telah diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah yang tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus. - Bernama

No comments:

Post a Comment