Tuesday, December 14, 2010

Tiada kos baiki Stadium Sultan Mizan





KUALA TERENGGANU - Tiada sebarang kos yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri bagi kerja pembersihan dan pengalihan struktur Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang runtuh sebelum ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib (BN-ADUN Rantau Abang) berkata, proses pembaikan stadium itu dibuat secara berperingkat, meliputi empat fasa. 

Menurutnya, kerja itu meliputi pembersihan dan pengalihan struktur bumbung yang menjadi sebahagian daripada kos pembersihan. 

“Bagi kerja pembersihan dan pengalihan struktur runtuhan bumbung, kontraknya telah bermula pada 26 Julai lalu sehingga 14 November dan ia telahpun disiapkan dengan tiada kos untuk pembersihan serta pengalihan struktur. 

“Bagaimanapun, bagi menentukan kos baik pulih stadium secara keseluruhannya, kita masih di peringkat perunding pakar bagi integriti struktur dan kita perlu buat semakan integriti struktur sebelum proses pembaikian stadium, akhirnya dipasang bumbung baru. 

“Kos bagaimanapun masih tidak dapat ditentukan pada peringkat ini,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Dr Alias Razak (Pas-ADUN Bukit Tunggal) mengenai kos pembersihan dan baik pulih stadium itu. 

Dalam soalan tambahannya, Dr Alias bertanyakan anggaran kos yang diperoleh kerajaan daripada kerja pembersihan itu termasuk penjualan besi tersebut. 

Za’abar kemudian menjawab, dalam konsep pembersihan dan pengalihan struktur runtuhan bumbung itu, tiada kos kerana sisa daripada struktur runtuhan bumbung itu menjadi sebahagian daripada yang boleh dikeluarkan kontraktor. 

Dr Alias kemudiannya bertanyakan, sama ada berpatutan nilai besi yang dijual sebagai kos pembersihan itu atau besi itu terlalu mahal hingga akhirnya rugi di pihak kerajaan. 

Za’abar berkata, ia memang ada dianalisa dalam kontrak yang di-buat dan kos kontraknya adalah kosong. 

“Kita telah buat penilaian dan kos kosong itu memang kita telah buat keputusan. Selepas proses pembaikan, barulah kita boleh buat integriti struktur, pembaikan stadium dan pembinaan bumbung baru.

“Itu proses yang akan kita buat dan kita akan kenal pasti apakah pembaikan yang perlu dibuat, me-ngenai cadangan pembinaan bumbung akhirnya. 

"Penamatan kontrak ini telah dibuat dan bagi kos pembinaan bumbung dan sebagainya, ia akan disandarkan kepada kontrak,” katanya.

No comments:

Post a Comment