Tuesday, December 14, 2010

Pas tulang belakang kerajaan pakatan


KUALA TERENGGANU 13 Dis. – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yakin parti itu akan menjadi dominan selaku tulang belakang kerajaan jika pakatan pembangkang dapat memerintah negara ini kelak.
Katanya, parti itu akan berperanan sebagaimana UMNO dalam Barisan Nasional dalam mengemudikan kerajaan.
Beliau berkata, Pas akan tetap menjadi kuasa penentu kepada pembentukan kerajaan dalam corak yang diingini.
Ketika ditemui di sini hari ini, beliau yang ditanya tentang jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas dalam pilihan raya umum akan datang bagi menentukan kekuatannya, berkata:
‘‘Kerusi boleh ditentukan dari semasa ke semasa. Apabila kita menolak (bersama) dalam kerajaan, maka mereka tidak boleh tubuh kerajaan.
‘‘Pas sendiri memilih untuk berkawan dan Pas
sedia bersendirian jika matlamat terabai.’’
Namun tegasnya, sejak pakatan pembangkang dibentuk, parti berkenaan semakin mantap biarpun masing-masing ada matlamat dan perjuangan.
‘‘Seperti Pas meraikan dasar dan perjuangan Islam dan DAP boleh menerima dan bertolak ansur,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua parti dalam pakatan tersebut jujur dalam perjuangan bersama.
Tambahnya, pada masa kini sokongan orang Melayu terhadap Pas tidak terjejas, malah sokongan kaum lain semakin meningkat.
Di sebalik gambaran perpecahan di kalangan umat Islam yang membimbangkan ekoran persaingan politik, katanya, beliau masih menaruh harapan bahawa pada masa depan mereka akan bersatu.
Malah, kata beliau, ia akan menjadikan mereka semakin kuat namun usaha ke arah titik pertemuan itu terserah kepada mereka di peringkat atasan.
‘‘Orang Islam akan bersatu atas dasar akidah dan berfikir bagaimana untuk menjaga negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment