Bom
Bom
Logo kes Anwar

KUALA LUMPUR - Tiga letupan berlaku berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini selepas Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan berhubung kes liwat hari ini, menyebabkan lima orang cedera.

Letupan pertama berlaku pada pukul 10.20 pagi manakala kejadian letupan kedua menyusul pukul 10.45 pagi dan diselangi dengan letupan ketiga pada pukul 10.55 pagi.

"Letupan pertama berlaku di Jalan Khidmat Usaha kira-kira 300 meter dari pintu A mahkamah manakala letupan kedua berlaku di Jalan Dutamas, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pertama dan letupan ketiga berlaku 150 meter dari pintu B mahkamah," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Jelas beliau, letupan pertama mengakibatkan dua lelaki cedera ringan di bahagian muka termasuk seorang peguam.

Letupan kedua mencederakan tiga orang, tiada kecederaan pada letupan ketiga. Kesemua yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut," kata Mohmad.

Mohmad menambah, letupan berpunca daripada bahan letupan buatan sendiri yang diletakkan dalam kon kawalan keselamatan polis.

"Pihak kami mendapati bahan letupan berkenaan mengandungi bateri, wayar dan 'boltbearing'," katanya.

Mohmad menambah, disebabkan insiden itu, polis mengarahkan 4,500 penyokong Anwar bersurai daripada kawasan perhimpunan berkenaan pada pukul 11.05 pagi kerana keadaan didapati tidak selamat.

Polis masih menyiasat kejadian itu dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian letupan atau perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata polis masih memantau kawasan yang terlibat sehingga kini dan meminta orang ramai untuk tidak panik dengan kejadian itu.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian, Narazan Muda, 38, berkata, ketika dia sedang berjalan menuju ke kereta, tiba-tiba sebuah kon polis ditepi jalan yang jarak 300 meter meletup.

"Bunyi letupan sangat kuat, saya terus meniarap kerana terkejut.

"Malangnya empat orang yang berada di depan saya tidak sempat mengelak dan terkena serpihan kon yang meletup," katanya kepada Sinar Harian Online.

Letupan mengakibatkan empat kereta, satu lori penjaja dan tiga motor rosak.

Siasatan akan disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Seorang lagi saksi, Azrul Abdullah, 25, yang ditemu bual Bernama berkata, beliau turut terkejut dengan letupan yang berlaku sambil menyifatkan ia tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Beliau yang merupakan seorang peniaga makanan ringan berada 30 meter dari tempat kejadian bagaimanapun tidak mengalami kecederaan mahupun kerosakkan
hartabenda.

Abdullah Zawawi, 32, pula berkata letupan kedua berlaku dengan pantas ketika beliau sedang mengambil gambar penyokong PKR.

"Saya sempat ambil gambar selepas letupan yang berlaku dalam sebuah tong sampah. Masih sempat nampak percikan api dan asap," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perhimpunan "Kempen Bebaskan Anuar 901", Mohmad berkata beliau berpuas hati pihak polis berjaya mengawal orang ramai yang berhimpun.