SHAH ALAM - Tiga individu termasuk seorang wartawan Suara Keadilan ditahan kerana melukis grafiti di dinding sebuah bangunan di kawasan Lembah Pantai, dipercayai ada kaitan dengan kempen Bebaskan Anwar 901, Isnin ini.

Difahamkan, semburan cat atau lukisan grafiti itu tertera tulisan ‘TTR901’ dan turut dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi semalam mengesahkan penahanan ketiga-tiga individu lelaki berusia antara 26 hingga 29 tahun itu.

Beliau berkata, polis menahan mereka di sekitar kawasan Lembah Pantai kira-kira jam 6.30 pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes lukisan grafiti terbabit.

“Mereka ditahan reman selama empat hari sehingga 10 Januari ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dibuat menjurus mengikut Seksyen 506 dan 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah serta kata-kata atau perlakuan yang bertujuan memberi malu terhadap seseorang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, peguam, Yusmadi Yusoff berkata, ketiga-tiga individu terbabit kini berada dalam tahanan di lokap Balai Polis Lembah Pantai dan direman selama empat hari.