Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap politik fitnah yang tumbuh di negara ini akan berakhir susulan pembebasan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata akan menunaikan solat sunat syukur dan bepuasa esok sebagai tanda kesyukuran Anwar dibebas dan dilepaskan.

“Alhamdulillah fitnah yang dilemparkan pihak yang tidak bertanggungjawab berakhir dengan ALLAH SWT membuka pintu hati peguam dan hakim untuk memberitahu perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohamad Zaibidin Mohd Diah dalam penghakiman ringkasnya berkata, kedua-dua bukti iaitu DNA dan oral lisan tidak boleh sabit kesalahan.

Nik Abdul Aziz berkata, mereka yang membuat fitnah selama 10 tahun itu perlu ingat bahawa apa yang dilakukan itu dosa besar dan perlu memohon maaf daripada Anwar.

“Anwar secara fizikalnya kita tahu, dia nak duduk pun sakit, nak berdiri lagi sakit kesan kecederaan ketika berada dalam tahanan, macam mana dia nak guna untuk seks terhadap orang muda.