Hassan Ali

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melepaskan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri secara sukarela.

Abdul Khalid berkata, tindakan itu perlu dilakukan Hasan memandangkan beliau kini jelas tidak lagi mewakili Pas.

“Saya berpendapat beliau sebagai seorang ‘gentleman’ perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menghormati keputusan Pas memecat Hasan beliau telah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berkenaan status Hasan sebagai Exco.


"Walaupun Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan saya mempunyai kuasa untuk menggugurkan Hasan sebagai ahli Exco, saya menyeru supaya Hasan melepaskan jawatannya secara sukarela kerana amat jelas beliau tidak lagi mewakili Pas dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat," katanya.


Abdul Khalid berkata, pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Exco, perkenan baginda tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan Exco.