Wednesday, September 26, 2012

PKFZ: Dr Mahathir beri keterangan bulan depan

Tun Dr Ling Liong Sik
Tun Dr Ling Liong Sik

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hari ini mendakwa bahawa tidak pernah menerima surat daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan terdapat kesilapan pada surat yang dihantarnya berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Liong Sik, 68, yang dipanggil membela diri atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia turut memberitahu bahawa beliau juga tidak menerima balasan surat menyatakan perkara yang sama (terdapat kesilapan) daripada Kementerian Kewangan.

Katanya, surat bertarikh 29 Jun 2002 yang mengandungi maklumat kadar nilaian pembelian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) dan kadar faedah 7.5 peratus setahun itu disediakan oleh bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, Timbalan KSU Datuk Abdul Rahman Mohd Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim P. Chandrasekaran.

"Sehingga saya bersara pada 28 Mei 2003, tiada seorang pun yang memberitahu bahawa terdapat kesilapan pada surat tersebut," katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguam Wong Kian Kheong.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada pegawai yang memberitahu bahawa kadar RM25skp dan faedah 7.5 peratus itu tidak mematuhi penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Beliau didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25skp iaitu RM1,088,456,000.

Liong Sik didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Sementara itu, prosiding yang bermula pada 9 pagi ini terpaksa dihentikan lebih awal apabila Wong memohon penangguhan berikutan masalah kesihatan yang dialami Liong Sik.
Liong Sik hanya memberi keterangan selama sejam setengah sebelum Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan Jumaat untuk menyambung perbicaraan.

Dr Mahathir dijangka memberi keterangan pada bulan depan berhubung kes ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment