Wednesday, September 26, 2012

Umno tidak boleh lagi manipulasi hukum hudud

Harakahdaily,26 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Hukum hudud bukan lagi menjadi suatu momokan dan modal politik murahan yang boleh dimanipulasi oleh Umno BN untuk menjauhkan kaum bukan Islam daripada PAS.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya baru-baru ini membuktikan bahawa Umno BN semakin tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya  Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan bahawa terdapat peningkatan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat dan merosotnya sokongan terhadap Umno BN,” kata setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Ini, katanya sekaligus membuktikan bahawa rakyat kian hari kian hilang keyakinan terhadap kebolehan Umno BN memerintah negara.

Tambahnya, dengan pelbagai isu yang terpalit kepada pemimpin BN, rakyat semakin tidak sabar untuk melihat kejatuhan mereka.

“Kajian ini juga menunjukkan bahawa segala sogokan yang diberi oleh Umno BN seperti BR1M, TR1M dan sebagainya tidak memberikan kesan kepada rakyat Malaysia.

“Semakin banyak yang dilakukan, semakin meluat rakyat kepada Umno BN. Rakyat semakin teruja melihat kejatuhan Umno BN,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setelah 56 tahun memerintah dan menjerut leher rakyat, kini masanya untuk rakyat Malaysia membuat pembaharuan dengan memilih Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, manifesto-manifesto Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga mampu menawan hati rakyat Malaysia sehinggakan Umno BN terpaksa mencedok idea daripada buku tersebut untuk disajikan kepada rakyat.

DPPWP juga, ujarnya tertarik dengan kajian UM yang menyatakan bahawa kaum Cina semakin yakin dengan undang-undang hudud.

Ini, tambah beliau sekaligus menafikan bahawa kaum Cina di Malaysia amat fobia dengan undang-undang hudud.

Katanya, undang-undang hudud untuk umat Islam ini sememangnya diketahui umum amat adil, apatah lagi ianya amat berkesan dilaksanakan di saat negara kini mengalami kadar jenayah yang tinggi.

“Kajian ini merupakan tamparan yang hebat kepada Umno BN khususnya MCA yang dilihat cuba untuk menakut-nakutkan kaum Cina dengan isu hudud.

“Inilah hasil perjuangan PAS dari dulu hingga kini. Rakyat kini sudah mula dapat menerima hukum hudud. Penerangan demi penerangan diberikan tanpa jemu walaupun diugut dan ditolak oleh orang yang mengaku Islam sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Umno BN walaupun memerintah namun tidak pernah ada usaha untuk memberikan kefahaman hudud kepada rakyat yang berbeza dengan PAS yang tidak memerintah namun masih mampu memberikan kefahaman tersebut.

No comments:

Post a Comment