Wednesday, September 26, 2012

Tak sempat terima bantuan

Siti Suniza
Gambar ini dirakam ketika Sinar Harian melawat arwah Siti Suniza
bersama anak perempuannya pada 9 September lalu.
SUNGAI KARANGAN - Seorang ibu tunggal yang menderita akibat barah pipi tidak sempat menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila dia menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Manggis kira-kira jam 1 pagi, 22 September lalu.
Sebelum ini, penderitaan Siti Suniza Suid, 21, mendapat perhatian daripada JKM apabila dia diberikan bantuan sebanyak RM300 seperti yang dilaporkan akhbar ini 10 September lalu.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Merbau Pulas yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Serai, Halim Hassan ketika melawat jenazah berkata, sebelum ini keadaan Siti Suniza tidak membimbangkan tetapi selepas menjalani pembedahan di bahagian muka beberapa bulan lalu, pipinya semakin membengkak sehingga mengakibatkan mata kanannya tertutup.
Siti Suniza Suid
Halim (dua, kanan) ketika membaca doa sebelum
jenazah dibawa ke tanah perkuburan. 
Menurutnya, Siti Suniza sudah menjalani empat pembedahan di bahagian muka termasuk rawatan kimoterapi. Doktor berusaha membuang ketumbuhan di bahagian dalam muka dan mulut mangsa tetapi keadaan bengkak di pipinya masih tidak menampakkan sebarang perubahan.
"Arwah tenat sejak seminggu lalu tetapi masih sedarkan diri. Warisnya memaklumkan kepada saya, arwah muntah darah beberapa kali sebelum tidak sedarkan diri.
"Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karangan. Ini merupakan kes barah kedua yang mengakibatkan kematian. Sebelum ini seorang pelajar perempuan turun mengalami nasib sama setelah mengalami barah tulang.
"Saya minta Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Majlis Ketua Kampung (MKK) untuk memaklumkan kepada saya lebih awal sekiranya ada kes seumpama ini. Kita akan berusaha menghantar mangsa terlibat untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kubang Kerian, Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment