Sukarelawan Misi Kemanusian KP1M, Ustaz Rusdin Mahmud
Sukarelawan Misi Kemanusian KP1M, Ustaz Rusdin Mahmud memberikan gula-gula kepada penduduk Rohingya di kem penempatan sementara penduduk di Bawdhupa.
Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Rahim (kiri) bersalaman dengan Ketua Menteri Rakhine, Hla Maung Tin
Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Rahim (kiri) bersalaman dengan Ketua Menteri Rakhine, Hla Maung Tin sebaik tiba di Rakhine, Sittwe.
Ketua Pasukan Perubatan, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman
Ketua Pasukan Perubatan, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman merawat seorang kanak-kanak di Kampung Tin Tow Li, dekat Sittwe.
slogan 1Malaysia
Penulis (tengah) bersama rakan media serta masyarakat Rohingya melaungkan slogan 1Malaysia di Kampung Bawdhupa, Sittwe.
(Wartawan yang menyertai Misi Kemanusiaan ke Myanmar anjuran Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) baru-baru ini)

Kehilangan 11 ahli  keluarga tersayang dalam sekelip mata sudah cukup memberi trauma. Apatah lagi kedua-dua ibu bapa dan dua daripada tiga anaknya antara yang nyawanya diragut. Air mata memang sudah menjadi mainan Saidatul Nisa Abu Sayaf, 25.
Kini, yang tinggal hanya suami dan seorang anak, tempat bergantung harap serta saudara sesama Muslim yang bersama menumpang teduh di Kem Penempatan Sementara Penduduk di Bawdhupa, sejak tercetusnya pergolakan etnik di Rakhine, Mei lalu.

Dengan wajah hiba, wanita Rohingya ini menceritakan kisahnya. Sepatah demi sepatah jawapan yang keluar daripada mulut wanita ini, walau penulis tidak memahami bahasa yang dituturkannya. Mujur, seorang lelaki Rohingya yang boleh bertutur Bahasa Melayu, membantu menterjemah kata-katanya.

Daripada apa yang dikongsi, timbul rasa simpati kepada wanita ini. Dengan disaksikan puluhan manusia yang mengelilingi kami, ditambah sinaran matahari terik di atas kepala, rentetan hidupnya benar-benar menyentuh hati. Andainya diri berada di tempat wanita ini, adakah kita sekuat dia?


Kongsi penderitaan

Realitinya, bukan wanita ini sahaja yang kehilangan ahli keluarga dan sanak saudara, malah ramai lagi yang tampil bercerita kepada kami kepayahan dan penderitaan mereka. Hakikatnya, kehilangan seorang ahli keluarga sahaja sudah meninggalkan kesan tragis dalam diri, apatah lagi 11 orang insan tersayang sekali gus.

Kisah wanita ini, antara puluhan yang dikongsi oleh masyarakat Rohingya apabila rombongan sukarelawan Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) dalam Misi Kemanusiaan ke Myanmar seramai 56 orang, menjejakkan kaki di kem penempatan sementara penduduk di sekitar Rakhine, Sittwe.

Mereka bukan sekadar kehilangan insan-insan tersayang, tetapi desakan meneruskan kehidupan memaksa mereka melalui kesukaran dengan segala keterbatasan di bumi bertuah Myanmar.

Perintah berkurung dari jam 7 malam sehingga 6 pagi, makanan dicatu, tiada sekolah, tiada kemudahan klinik yang sempurna, rumah yang serba daif dengan tiada bekalan elektrik dan air yang sempurna.

Itu yang mereka lalui ketika ini di Rakhine yang pastinya membuatkan hati sukarelawan hiba dan insaf. Dari raut wajah mereka, sudah cukup menggambarkan kepayahan hidup yang mereka alami.

Paling meruntun hati dan perasaan sukarelawan, tatkala doa dibacakan oleh wakil KP1M, Ustaz Rusdin  Mahamud, titis jernih air mata mengalir di pipi mereka, hatta kanak-kanak dan golongan dewasa Rohingya.

Air mata itu seolah-olah menggambarkan keperitan hidup yang mereka dilalui, hanya berserah kepada Maha Pencipta, bilakah penderitaan ini akan berakhir.

Barangkali juga air mata itu tanda syukur kepada Ilahi, buat pertama kalinya, ada pihak luar yang simpati akan nasib yang menimpa mereka. Berulang kali ucapan terima kasih meniti di bibir.

Dan buat kanak-kanak Rohingya, sebatang gula-gula lolipop begitu besar ertinya. Mungkin itu pertama kali mereka menikmati manisan sebegitu seumur hidup, walaupun terpaksa berpusu-pusu dan berebut-rebut mendapatkannya.
Bagi pakar perubatan yang turut sama dalam misi, masa yang singkat dimanfatkan sebaiknya dengan memberi keutamaan kepada warga emas dan kanak-kanak. Pilu melihat susuk tubuh mereka yang lesu dan tidak bermaya akibat kurang pemakanan berkhasiat.

Tiba saatnya, setiap pertemuan pasti diiringi perpisahan. Ketika rombongan sukarelawan berlalu pergi, lambaian sayu dan linangan air mata mengiringi pemergian kami dan sukar mentafsir erti pandangan mereka.

Pastinya kami, peserta sukarelawan begitu terkesan akan senario kehidupan mereka. Meski serba daif, mereka terus tabah dan kuat meneruskan kehidupan yang belum pasti. Doa kami, semoga ada cahaya di hujung terowong buat masyarakat Rohingya suatu masa nanti.


Agih bantuan

Misi Kemanusiaan KP1M ke Myanmar membawa 580 tan bantuan kepada penduduk Myanmar yang ditempatkan di kem-kem tanpa mengira kaum dan agama sejak tercetusnya perbalahan etnik di Rakhine, Sittwe.

Atas nama kemanusiaan, Malaysia membuktikan bantuan yang disalurkan oleh KP1M merentasi agama dan kaum di Rakhine.

Pelbagai barangan keperluan berupa makanan, minuman dan bekalan perubatan diagihkan sebaik kapal yang membawa bantuan tiba dari Yangon, 4 Oktober lalu di Pelabuhan Sittwe.

Sepanjang tiga hari di Rakhine, lapan kem dan dua kampung Rohingya dan Buddha serta sebuah hospital telah menerima bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Dianggarkan lebih 75,000 Rohingya ditempatkan di beberapa pusat penempatan di seluruh  Sittwe manakala penganut Buddha pula ditempatkan di beberapa pusat penempatan berasingan.

Usaha KP1M ini berjaya mencatat sejarahnya apabila buat pertama kalinya, Myanmar membenarkan peserta misi bantuan masuk ke negara itu dalam jumlah yang ramai.

Walaupun pelbagai kekangan pada awalnya, hubungan dua hala dan kerjasama baik yang terjalin antara Malaysia dan Myanmar, merealisasikan harapan KP1M.

Selaku penaung KP1M, sokongan dan peranan yang dimainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad begitu berkesan untuk meyakinkan Presiden Myanmar, Thein Sein untuk merealisasikan usaha ini.

Duta Malaysia di Myanmar, Dr Ahmad Faizal Muhamad pada mulanya, mengakui misi ini dilihat sebagai mustahil. Masakan tidak, tiada negara luar mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibenarkan oleh kerajaan Myanmar untuk menghulurkan bantuan.

“Sebaik sahaja misi ini tiba di Yangon, saya berdoa supaya bantuan yang ingin disampaikan kepada penduduk Myanmar ini berhasil kerana bagi saya misi ini adalah mustahil. Namun hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, akhirnya ia dapat direalisasikan,” katanya.

Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kejayaan misi ini membuktikan keakraban kepimpinan negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kepimpinan kerajaan Myanmar iaitu Presiden Thein Sein.

“Kerana itulah kita amat dihormati dan disegani dan walaupun pelbagai kekangan dan rintangan kami hadapi, tetapi akhirnya mereka membuka segala ruang untuk kita melakukan misi tersebut,” katanya.

Azeez berkata, perancangan rapi selama dua bulan diperlukan bagi mengatur misi ini, meskipun sebelum ini berpengalaman menganjurkan 26 misi di negara luar yang terlibat dalam kancah peperangan atau dilanda bencana alam.

Beliau mengakui walaupun misi ke-27 KP1M ke Myanmar yang paling sukar, namun bersyukur dengan kelancaran misi tersebut dan meluahkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Myanmar di atas kerjasama yang sangat baik selain mengawal
keselamatan sukarelawan dengan baik.


Syukuri nikmat perpaduan

Bagi semua peserta misi ini, banyak pengalaman yang kami peroleh dan pelajari sepanjang tiga hari berada di Rakhine, Sittwe.

Pergolakan etnik yang berlaku, menjadi pengajaran dan iktibar yang cukup berguna supaya jangan sesekali mencemari perpaduan dan kesejahteraan yang telah kita nikmati.

Rakyat Malaysia yang dikurniakan keamanan dan kemewahanhidup seharusnya bersyukur dengan kemakmuran yang telah kita kecapi selama 55 tahun kemerdekaan negara.

Elakkan perkara menyentuh sensitiviti kaum, bangsa dan agama rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Jangan ada sikap hasad dengki, dendam dan iri hati kerana nikmat yang kita peroleh di negara bertuah Malaysia, jauh lebih baik daripada mereka.

Perlu diingat, keamanan dan kemakmuran negara yang kita peroleh kini, tidak berlaku sekelip mata. Bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan dan berharap negara tercinta ini akan terus aman, makmur dan sejahtera selamanya.