Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.
Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.
KADUNA - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah perkampungan di utara Nigeria, menyebabkan 22 orang yang kebanyakannya baru selesai menunaikan solat terkorban, kelmarin.

Pegawai polis, Olufemi Adenaike berkata, serangan di sebuah kampung terpencil, Dogo Dawa dipercayai bermotifkan membalas dendam selepas empat ahli kumpulan bersenjata itu, ditahan anggota rukun tetangga kampung yang kemudian membawa mereka ke balai polis.

"Selepas kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata dari kampung Kuyello menyerbu kampung ini, kemudian menembak penduduk kampung yang baru keluar dari masjid dan ada yang ditembak di rumah mereka," kata Dawa.

Daerah Kaduna sering diganggu oleh kumpulan pemberontakan Boko Haram sekali gus menyekat kebebasan penduduk yang terancam di tanah air sendiri.

Jenayah rompakan bersenjata dan perebutan kawasan sehingga mencetuskan situasi tembak-menembak, adalah perkara yang biasa berlaku di perkampungan penduduk miskin utara negara itu.
Pemimpin tradisional, Abdullahi Muhammad berkata, perkampungan yang bersebelahan dengan kawasan kerajaan tempatan, diserang oleh sekumpulan pemberontak yang terkenal.

"Kumpulan lelaki bersenjata yang beroperasi dari kem dalam hutan telah mengganas di kampung itu.
Mereka sering menyerang kampung-kampung dan pemandu kereta di sepanjang laluan sibuk Kaduna menghala ke lebuh raya Lagos," katanya. -Reuters