Tuesday, October 16, 2012

Myanmar



Sebahagian daripada sami Buddha membawa sepanduk membantah pembukaan pejabat OIC di Maynmar, dalam satu protes di Yangon, Myanmar, semalam. - AFP
NAYPYIDAW 15 Okt. - Presiden Myanmar, Thein Sein, hari ini menghalang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membuka pejabat di negara ini, selepas satu perhimpunan besar-besaran diadakan bagi membantah usaha badan itu untuk membantu penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine.
Menurut seorang pegawai dari pejabat Presiden, pemimpin itu tidak membenarkan pejabat OIC dibuka kerana tidak selaras dengan kehendak penduduk di situ.
Pegawai yang tidak mahu dikenali itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perjanjian yang ditandatangan dengan badan tersebut pada minggu lalu, yang mengesahkan mendapat lampu hijau bagi membuka cawangannya di negara ini.
Beribu-ribu sami mengadakan tunjuk perasaan di Yangon, Mandalay dan di bandar Pakokku di wilayah Magway, tengah Myanmar hari ini untuk membantah pembukaan pejabat OIC di negara ini.
"Kami tidak boleh menerima pembukaan pejabat OIC di sini," kata sami yang mengetuai tunjuk perasaan di Mandalay, Oattamathara.
Persengketaan antara penganut Buddha dan Islam Rohingya meningkat sejak Jun lalu di negeri Rakhine, menyebabkan berpuluh-puluh penduduk terkorban dan memaksa beribu-ribu penduduk menjadi pelarian.
Sebanyak 57 anggota OIC melawat Rakhine bulan lalu bagi mendapatkan gambaran sebenar di negeri bergolak itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121016/lu_04/Thein-Sein-halang-OIC-buka-pejabat#ixzz29TzFHM7G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment