Tuesday, October 16, 2012

Ankara sekat pesawat Syria




         
DAMSYIK: Turki mengharamkan penerbangan Syria melalui ruang udaranya sebagai reaksi langsung terhadap tindakan Damsyik, semalam.

Perintah larangan itu meningkatkan ketegangan kedua-dua negara, beberapa hari selepas Ankara merampas kargo didakwa Moscow sebagai peralatan radar untuk Syria. Larangan penggunaan ruang udara Turki berkuat kuasa sejak tengah malam (jam 5 pagi waktu Malaysia) semalam.


Agensi berita Syria, Sana, melaporkan tindakan Ankara itu dibuat “selaras dengan prinsip timbal-balik.” Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, berkata negaranya menutup ruang udara untuk penerbangan awam Syria, sama seperti dilakukan ke atas pesawat tentera negara itu. “Disebabkan Turki mendapati penerbangan awam disalah guna oleh Kementerian Pertahanan Syria untuk mengangkut kelengkapan tentera, kami menghantar nota maklumat kepada Damsyik untuk memaklumkan larangan berkenaan,” katanya. Sementara itu, Iran menyerahkan “cadangan terperinci” kepada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi, untuk menamatkan konflik di Syria. Semalam, Lakhdar melawat Iran ketika keganasan di Syria terus memuncak.

Di Teheran, Lakhdar menerima “cadangan terperinci tidak rasmi” daripada Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi, bagi membantu menamatkan perang di Syria. Menurut Lakhdar, dia menyambut baik cadangan berkenaan tetapi mengulangi gesaan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, supaya Damsyik mengusahakan gencatan senjata. Di medan perang, tentera regim Bashar al-Assad menggunakan jet pejuang untuk mengebom Maaret al-Numan yang ditawan pejuang Tentera Pembebasan Syria sebelum ini.


Di timur negara itu, tentera kerajaan cuba menghalang serangan baru dilancarkan pejuang ke atas pangkalan tentera Wadi Deif. - AFP

No comments:

Post a Comment