Fatah sukar tembusi Tebing Barat
Kumpulan petugas di pusat pembuangan undi mengumpul kertas undian rakyat Palestin.
RAMALLAH - Penduduk Palestin di Tebing Barat dilaporkan menolak sebahagian calon Fatah daripada pergerakan pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, semasa membuang undi dalam pilihan raya, semalam.

Fatah dilihat begitu mengharapkan undian bagi membangkitkan semula cengkaman politiknya, walaupun Hamas terlebih dahulu memboikot pilihan raya tersebut.

Pegawai pilihan raya memaklumkan, secara tidak rasminya pergerakan Fatah menang secara majoriti di Hebron, Qalqiliya, Tulkarem, Jericho, Salfit dan El- Bireh.

Bagaimanapun, pengundi di Nablus, Ramallah, Jenin dan Tubas dilaporkan lebih memilih senarai bebas yang didominasi calon serpihan Fatah.

Di Bethlehem pula, calon berhaluan kiri dan bebas mengungguli jumlah bilangan undian.

Terdahulu, pilihan raya dicemari dengan segelintir masyarakat yang bersikap acuh tidak acuh selain berlakunya keretakan perhubungan di antara Hamas dan Fatah yang sekali gus mencetuskan dua kerajaan asing di Tebing Barat dan Gaza pada 2007. -Reuters.