Monday, October 22, 2012

Umno restui Soi Lek guris hati umat Islam



Harakahdaily,22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Persidangan Tahunan MCA pada 21 Oktober lalu menjawab persoalan kenapa mereka begitu agresif menentang dan memperlekehkan hukum Islam.

“Rupa-rupanya kerana beliau takut tewas dan menganggap bahawa PRU13 ialah perjuangan hidup mati MCA, segala tindak tanduk pemimpin MCA seperti binatang yang sedang meronta-ronta hendak menghembus nafas terakhir.

“Inilah satu cara untuk menarik sokongan orang Cina kepada BN. MCA sedar daripada 10 orang Cina yang ditemui, hendak mencari seorang yang menyokong BN sudah hampir tiada,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Menurutnya, menjadi suatu yang pelik pula segala kenyataan yang mengguris perasaan umat Islam seolah-olah direstui oleh Umno sehingga Soi Lek mengatakan Datuk Ayub Rahmat Ahli Dewan Umno Johor hilang akal kerana mencadangkan hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri, Umno masih tersenyum lebar seolah-olah Umno sudah hilang kejantanan.

Justeru, ujarnya cuba bayangkan jika ucapan itu dikeluarkan oleh pemimpin DAP sudah tentu laporan polis oleh Umno dan NGO serta siri-siri demonstrasi akan dibuat di seluruh negara.

Beliau berkata, MCA dengan agresif hina Islam demi kelangsungan politik MCA yang semakin lemas, manakala Umno semakin semput.

Katanya lagi, di antara kenyataan pemimpin Mca untuk menakutkan orang bukan Islam ialah Soi Lek marah kepada Cikgu Normala Sudirman di Tenang yang tidak mahu bersalam dengan orang lelaki.

“Marah kepada Kelantan kerana cuti Hari Raya Haji dua hari. Mengatakan negara Islam negara rasuah dan membawa kemunduran.

“Datuk Donard Lim Pengerusi Perhubungan MCA Selangor mengatakan, MCA akan pastikan negeri yang dimenangi oleh BN tidak akan laksanakan Islam,” ujarnya lagi.

Idris menambah, Presiden MCA juga dengan lantang mengatakan dia berani melawan Umno untuk menentang hudud di dalam forum pada 18 Februari 2012.

Baginya, segala bentuk penghinaan dan serangan MCA direstui oleh Umno, sehingga mereka diam membisu.

Katanya, Umno sedar sebahagian besar orang Melayu tidak bersama Umno, manakala orang bukan Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

Oleh itu, ujar beliau jalan keluar ialah MCA mesti menarik sokongan orang Cina supaya jangan mengundi DAP dan Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya perhitungan Umno dan MCA itu silap.

“Orang bukan Islam lebih memahami Islam, dan lebih takut negara akan hancur akibat rasuah, pemborosan dan penyelewengan jika mandat diberikan kepada BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment