AMMAN - Pihak berkuasa Jordan berjaya menggagalkan rancangan kumpulan al-Qaeda untuk menjejaskan kestabilan keselamatan di negara sekutu utama Amerika Syarikat (AS) itu.

Seperti yang disiarkan televisyen tempatan semalam, kumpulan berkenaan merancang untuk mengebom sebuah pusat membeli-belah dan membunuh diplomat Barat.

Menurut pegawai keselamatan yang dipetik dari televisyen, pihak berkuasa telah berjaya menahan 11 anggota militan yang dipercayai ada kaitan dengan plot serangan itu.

"Suspek yang ditahan itu juga dipercayai turut bertanggungjawab terhadap serangan yang berlaku sejak Jun lalu di Amman dengan menggunakan senjata yang diseludup dan bahan letupan yang dibawa dari Syria.

"Rancangan mereka termasuklah untuk mendapatkan bahan letupan dan mortar dari Syria," katanya.

Tambah beliau, serangan disasarkan di kawasan barat dan komersial untuk mengakibatkan beribu-ribu kematian.

Sementara itu, sumber pihak berkuasa memberitahu Reuters bahawa suspek telah membuat bahan letupan dengan 'tujuan untuk mengakibatkan kerugian paling teruk dan sebanyak mungkin'.