BANGKOK - Seorang anggota tentera terbunuh apabila kereta berperisai (APC) yang dinaikinya terkena bom yang dipasang di tepi jalan di Bachok, Narathiwat hari ini.
Komander Tentera Laut Narathiwat Kol. Somkiat Ponprayoon berkata kenderaan V150 APC itu dihantar tentera laut bagi membantu lapan anggota tentera yang cedera dalam serangan bom di Kampung Cowo Bereh di Bachok pada pukul 9 pagi.
Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer dari kampung itu, bom seberat 50 kilogram yang ditanam di tepi jalan meletup menyebabkan kerosakan teruk pada APC dan membunuh pemandunya, kata beliau.
Dalam serangan terdahulu, beliau berkata lapan anggota tentera yang meronda menaiki motosikal cedera apabila terkena bom seberat lima kilogram yang diletupkan menerusi kawalan jarak jauh.
Di Pattani, seorang anggota pemisah cedera dalam pertempuran senjata api dengan pasukan keselamatan di Kampung Tabok hari ini.
Lebih 5,000 terbunuh sejak pihak pemberontak menyambung semula kempen bersenjata api mereka bagi membebaskan tiga wilayah iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas.
- Bernama