Friday, October 5, 2012

Muhammad utusan terakhir

Zakir Naik
Dr Zakir (kanan) tenang dan bersahaja sewaktu
menyampaikan ceramah yang dipenuhi pelbagai hujah dan fakta.
Kemunculan ikon debat moden, Dr Zakir Naik membawa fenomena baru dalam penyampaian dakwah Islam di negara ini. Pengaruhnya mula tersebar meluas seantero dunia, termasuk Malaysia melalui video ceramahnya di laman YouTube yang banyak mengupas mengenai Islam dari pelbagai perspektif.
Doktor perubatan kelahiran Mumbai, India itu dibawa khas ke Malaysia oleh Islamic Information Services (IIS) Foundation dan Saba Islamic Media. Siri jelajah ceramah pertamanya bermula di Johor - Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 28 September lalu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Kerajaan Negeri.
Membawa tajuk Muhammad SAW in World’s Religious Scriptures, Dr Zakir berjaya 'memaku' kira-kira 10,000 pengunjung.
Nabi Muhammad pemimpin universal

Menyampaikan ceramah dengan menggunakan hujah dan bukti berpandukan al-Quran dan kitab-kitab kepercayaan agama lain sebagai sokongan, Dr Zakir berjaya membuktikan Nabi Muhammad SAW sememangnya pemimpin akhir zaman bagi semua umat manusia, tidak terhad kepada umat Islam semata-mata.
Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap Nabi Muhammad SAW sebagai pencipta dan pengasas kepada agama Islam itu sendiri.
“Saya menyedari ramai yang keliru mengenai peranan dan kehadiran Nabi Muhammad SAW. Dalam al-Quran telah menyebut bahawa Muhammad adalah utusan ALLAH SWT yang terakhir dalam menyampaikan ajaran Islam kepada semua manusia.
“Agama Islam bukanlah dicipta oleh Muhammad dan fakta ini mesti diterima semua pihak dan perlu dipercayai berdasarkan kata-kata ALLAH yang dicatat dalam al-Quran,” hujahnya.
Ceramahnya yang berlangsung kira-kira satu jam setengah itu turut membuka perspektif baru dalam kalangan bukan Islam mengenai kelahiran Nabi Muhammad sebagai pemimpin universal yang sememangnya diperakui semua kepercayaan utama dunia.
“Sejak beratus ribu tahun dahulu kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir sememangnya sudah dinanti dan diramalkan para cendekiawan dan pendeta-pendeta agama di seluruh dunia.
“Perkara ini dapat dilihat melalui salah satu contoh dalam kitab kepercayaan agama Buddha yang menyebut perihal Buddha menceritakan tentang kedatangan Buddha terakhir bagi memimpin manusia ke arah peradaban lebih mulia.
“Melalui ciri kepimpinan yang diceritakan Buddha jelas menunjukkan pemimpin dimaksudkan ialah Nabi Muhammad SAW kerana menurutnya pemimpin terakhir itu akan mempunyai pengikut berkali ganda lebih banyak berbanding pengikutnya dari seluruh dunia,” katanya.
Selain itu katanya, Buddha turut menjelaskan pemimpin terakhir itu dapat dikenal pasti melalui sifat-sifat kepimpinannya yang terpuji serta hanya menyampaikan mengenai kebenaran kepada semua umat manusia.
Dalam sesi soal jawabnya bersama hadirin, Dr Zakir sempat melontarkan pandangannya mengenai bantahan dan reaksi umat Islam berhubung penerbitan video penghinaan Islam dalam Innocence of Muslims.
“Dalam menangani isu Islam sejagat seumpama ini, saya berpendapat lebih baik ditubuhkan sebuah jawatankuasa yang dapat mewakili suara umat Islam seluruh dunia untuk membangkitkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti Islam.
“Kita juga boleh melantik atau menubuhkan panel khas peguam sebagai pemerhati yang akan bertindak mengikut undang-undang sekiranya timbul perkara-perkara yang dikatakan menyentuh sensitiviti Islam,” katanya.
Menurutnya pendekatan ganas untuk membantah sesuatu isu sehingga menyebabkan kekacauan serta ada nyawa yang terkorban adalah menyalahi syariah Islam yang amat menegah umatnya saling berbunuhan.
“Sebagai contoh, di satu kawasan di India ramai penganut Islam yang dibunuh penganut kepercayaan agama lain, namun ini tidak boleh menjadi alasan kepada saya dan umat Islam untuk melakukan pembunuhan sebagai tindakan balas.
“Islam sentiasa menyeru ke arah keamanan dan perpaduan semua umat manusia dan setiap isu yang timbul perlu ditangani dengan pendekatan yang berhemah serta tidak menyebabkan kemudaratan,” katanya.
Perspektif agama dan kepercayaan lain

Kedatangan Dr Zakir Naik ke Malaysia sememangnya dinanti-nantikan, khususnya bagi orang ramai yang pernah menonton ceramah beliau melalui laman YouTube.
Menurut peniaga, Jalanuddin Abu Bakar, 54, ceramah Dr Zakir itu banyak memberinya pendedahan tentang agama Islam, khususnya berkaitan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir ALLAH.
“Saya datang bersama seluruh ahli keluarga untuk sama-sama mendapat pendedahan melalui ceramah beliau. Ia membuka pandangan saya untuk memahami Islam dalam konteks yang lebih luas,” katanya.
Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Zulkhairi Ahmad, 22, berkata, dia sanggup mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke lokasi ceramah bagi mengikuti ceramah Dr Zakir.
“Saya puas hati kerana berpeluang menyertai ceramah ini kerana penerangan dan pendedahan mengenai Islam yang disampaikan Dr Zakir amat jelas.
“Ceramah ini juga memberikan saya pengetahuan baru tentang peranan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin ulung mengikut perspektif agama dan kepercayaan lain,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Kehormat ISS Foundation, Sabariah Abdullah berkata, Dr Zakir dibawakan khas ke negara ini sebagai pendedahan lebih meluas kepada masyarakat tempatan mengenai agama Islam yang perlu dilihat dalam konteks lebih meluas.
Katanya, penganjuran ceramah ini turut mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Kami amat berbesar hati dapat membawa masuk seorang tokoh ilmuwan Islam ke negara ini dan Johor sebagai destinasi pertama beliau bagi menyampaikan ceramah.
“Ceramah itu juga bertujuan memberi ruang kepada masyarakat bukan Islam untuk mendapat pendedahan berkaitan agama Islam dengan lebih jelas,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment