Friday, October 5, 2012

‘Tak jejas mereka’

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan percuma bas Go-KL sepatutnya tidak mengganggu pemandu teksi kerana hanya membabitkan dua lokasi bermasalah iaitu Pasar Seni dan KLCC, kata Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah.

Menurut Aslah, dakwaan pendapatan pemandu terjejas teruk selepas kerajaan memperkenalkan perkhidmatan percuma bas Go-KL tidak tepat kerana perkara yang sepatutnya diperjuang ialah masalah ‘ulat teksi Arab’ serta prebet sapu warga Iran.


“Kenapa persoal perkhidmatan bas percuma Go-KL sedangkan ia hanya mempunyai dua hentian iaitu di Pasar Seni dan KLCC.

“Itu pun (bas Go-KL) diwujudkan kerana perangai pemandu teksi sesetengah lokasi yang tidak mahu mengambil penumpang. Kalau orang hendak ke KLCC, mereka caj hingga RM15 ke RM20, meter yang ada tak mahu pakai dan minta tambang lebih.


“Lebih teruk, mereka jelas tidak menunjukkan minat terhadap penumpang tempatan dan hanya menyasarkan pelancong asing,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, semua itu mendorong orang ramai membuat aduan kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan hingga wujudkan perkhidmatan bas Go-KL.

“Kalau mereka hendak bising, bukan kerajaan yang untung...malah, kerajaan yang keluarkan kos operasi RM4 juta setahun untuk kesenangan rakyat.


“Apapun, kami harap pemandu teksi tidak terus mencari kesalahan...kalau mereka sedia mengikut peraturan, semua akan lebih mudah,” katanya.

Aslah berkata, pemandu sepatutnya berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan seiring dengan pelbagai keistimewaan yang diberi kerajaan.


“Tambang dah naik sejak 2009, dulu meter menunggu 45 saat, sekarang sudah kurang kepada 21 saat...dulu RM8 satu jam, sekarang RM17 satu jam.


“Apa yang mereka hendak lagi? Bila tambang meningkat, sepatutnya perkhidmatan mereka lebih baik,” katanya.


Kelmarin Harian Metro melaporkan lebih 250 pemandu teksi mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang, berikutan tidak puas hati dengan perkhidmatan bas percuma Go-KL yang didakwa menyebabkan kemerosotan pendapatan sehingga 70 peratus.


Himpunan secara aman itu bermula jam 2 petang hingga 7.30 malam membabitkan sekitar kawasan pusat beli-belah Pavillion hingga ke Lot 10.


Perbuatan pemandu terbabit yang kebanyakannya ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Bintang sesak teruk apabila laluan digunakan untuk melakukan bantahan itu terpaksa ditutup.


Begitupun, masalah dikemukakan sudah mendapat perhatian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kemudian mengadakan pertemuan tertutup dengan persatuan terbabit bersama pengurusan kanan SPAD di pejabat SPAD di sini, kelmarin.

No comments:

Post a Comment