Friday, October 5, 2012

Uniknya sentuhan anak raja Jambi

 Engku Mahmud Tengku Abu Bakar
Rumah Jambi yang bercirikan reka bentuk tradisi
masyarakat Jambi dengan struktur bumbung
dihiasi tanduk kerbau.



KEMAMAN – Reka bentuk unik Rumah Jambi yang berbumbung limas bungkus dan bertanduk kerbau kerana menerapkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera, membuatkan rumah yang terletak di Kampung Laut, Pasir Gajah, Air Putih ini menjadi salah satu tinggalan sejarah yang sangat berharga buat daerah ini.
Berikutan keistimewaan itu, Rumah Jambi yang kini mencecah usia 75 tahun bukan sahaja menjadi tempat wajib dikunjungi pelancong yang singgah di Kemaman, malah ia juga menjadi tarikan buat pengkaji sejarah.
Bangunan indah ini dikatakan dibina anak raja Jambi, Sumatera, Engku Mahmud Tengku Abu Bakar yang melarikan diri ke Tanah Melayu bersama pengikutnya apabila kawasan mereka diserang tentera Belanda ketika Perang Dunia Pertama meletus pada 1914.
Pelayaran mereka mengambil masa selama tiga bulan melalui jalan darat dan air, sebelum Engku Mahmud yang juga seorang tokoh agama terkenal menerokai dan membuka Kampung Pasir Gajah.
Difahamkan Rumah Jambi mula dibina pada 1933 sebelum siap sepenuhnya pada 1937, yang mana struktur binaannya dibina di atas tapak tinggi di tebing sungai bagi mengelak ditenggelami air.
Binaan rumahnya yang tinggi dengan saiz alang dan kasau yang besar, memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk mengangkatnya ke atas.
Proses mengangkat kayu bersaiz besar menggunakan tali ke atas oleh dua orang tukang, sementara kerangka rumah pula dibina secara bergotong-royong.
Kerja-kerja pembinaannya pula menggunakan peralatan tradisional seperti ketam tangan untuk mengetam kayu, manakala kayu dari hutan ditebang menggunakan beliung dan diketak menggunakan ketak tangan.
Atap asal rumah pula ialah atap genting yang diimport dari Malibar, India melalui Singapura dan dibawa ke Pasir Gajah menerusi Kuala Kemaman dengan menggunakan tongkang, yang mana proses membawa atap itu dikatakan mengambil masa selama dua tahun.
Menelan kos sebanyak RM30,000 ketika itu, Rumah Jambi mempunyai banyak ruang iaitu sorong tamu, beranda kiri, beranda kanan, rumah ibu, rumah bandung, dan sorong dapur. Lebih menarik seni bina rumah ini turut mempunyai pengaruh seni bina Islam, Inggeris, Melayu Johor dan sedikit pengaruh Melayu Terengganu.
Bangunan Rumah Jambi masih terpelihara
BIARPUN puluhan tahun berlalu, namun Rumah Jambi sehingga kini masih terpelihara dan dijaga oleh generasi keempat Engku Mahmud, Mohd Ibrahim, 59, demi memastikan warisan tinggalan sejarah itu terus wujud dan boleh ditatap generasi kemudian.
Mohd yang tinggal bersebelahan rumah unik itu berkata, selain kawasan dan keadaan rumah itu dijaga, setiap Jumaat majlis bacaan tahlil akan dilakukan di rumah berkenaan.
“Selain itu, pihak luar juga banyak mengadakan aktiviti kemasyarakatan di sini, seterusnya dapat terus menghidupkan rumah ini. Malahan hampir setiap bulan pihak luar datang ke sini bergotong royong membersihkan kawasan rumah ini,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, pada Mei lalu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman mengadakan pertandingan lukisan dalam rumah terbabit sekali gus pada masa sama dapat mendedahkan orang dewasa dan kanak-kanak dengan nilai estetika seni bina lama.
Katanya, sehingga kini rumah berkenaan sentiasa mendapat kunjungan daripada penuntut universiti dan pengkaji sejarah yang mahu menyelidik bangunan yang menyimpan 1,001 sejarah itu.
Jenazah Engku Mahmud disemadi di kawasan masjid
APA yang menarik, Rumah Jambi terletak bersebelahan Masjid Engku Haji Mahmud atau Masjid Jambi yang dipercayai mula didirikan selepas siapnya rumah berkenaan. Ia merupakan masjid terunik Terengganu kerana turut dihiasi dengan ukiran berunsurkan identiti masyarakat Jambi.
Ruang solat di masjid berkenaan mampu menampung kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa. Pada masa itu, selain menjadi tempat solat berjemaah, ia juga berfungsi sebagai tempat mengajar al-Quran, fardu ain dan fardu kifayah.
Ketika dibaikpulih beberapa tahun lalu, bahan-bahan asal sebahagiannya masih lagi dikekalkan tanpa mengubah strukturnya seperti ukiran yang terdapat pada tiang-tiang, dinding dan bumbung masjid.
Ibu saudara Mohd, Ngah Embong, 72, yang mula tinggal di Pasir Gajah ketika berumur 16 tahun berkata, arwah Engku Mahmud yang meninggal dunia pada usia 80 tahun turut disemadikan di kawasan masjid berkenaan.
Katanya, suatu ketika dahulu arwah Engku Mahmud merupakan orang kaya dan memiliki kebun getah yang luas serta memiliki ramai pekerja.-SH

No comments:

Post a Comment