Friday, October 5, 2012

Turki beri kebenaran serang Syria


Tentera Turki mengambil kedudukan di bandar Akcakale yang bersempadan dengan Syria, semalam. - AFP
AKCAKALE, Turki 4 Okt. - Parlimen Turki hari ini memberi lampu hijau kepada tindakan ketenteraan terhadap Syria, namun menegaskan ia bukannya satu mandat perang berikutan serangan maut merentasi sempadan oleh tentera Syria yang mengorbankan lima rakyat negara ini.
Undian di Parlimen itu dibuat sebagai tindak balas terhadap serangan berkenaan yang dilancarkan di sini, namun Damsyik berikrar bedilan seumpama itu tidak akan berlaku lagi.
Kuasa-kuasa besar dunia segera menggesa sekatan dikenakan ke atas Syria, dengan Amerika Syarikat menyatakan kemarahannya sementara Perancis memberi amaran insiden berkenaan boleh mengancam keselamatan global.
Di Ankara, Parlimen Turki mengadakan satu sidang khas dan kerajaan bersetuju membenarkan operasi ketenteraan dilancarkan ke kawasan Syria.
Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata, Syria juga mengaku bertanggungjawab ke atas bedilan berkenaan.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan Parlimen itu bukanlah satu mandat perang, tetapi hanya sebagai pertahanan.
Ketua Penasihat kepada Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, Ibrahim Kalin pula berkata, Ankara tidak berminat untuk berperang dengan Damsyik, namun perlu melindungi kepentingan negara apabila diperlukan.
Perselisihan terbaru antara Syria dan Turki itu tercetus selepas bedilan mortar di bandar ini mengorbankan lima orang termasuk seorang ibu dan tiga anaknya.
Sebagai serangan balas, Ankara hari ini melancarkan bedilan yang turut menyebabkan beberapa askar Syria maut.
Dalam serangan yang berlanjutan sejak tengah malam tadi, Turki bertindak balas dengan mengebom beberapa pos tentera Syria di Tal Abyad.
Ia mengakibatkan beberapa tentera Syria terbunuh setakat ini, kata pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Serangan oleh Syria itu juga menyaksikan buat pertama kali rakyat Turki menjadi korban akibat kebangkitan rakyat negara itu menentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad sejak Mac 2011. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121005/lu_01/Turki-beri-kebenaran-serang-Syria#ixzz28QFd9Mmr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment