Mazlan Aliman
Mazlan Aliman
KUALA LUMPUR - Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan supaya berdebat dengan beliau berhubung status saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).
Pagi tadi, Ahmad menggesa Mazlan menghentikan tohmahan dan fitnah ke atas Felda dan jika tidak, akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Menurutnya, beliau mencabar timbalan menteri itu untuk berdebat secara terbuka dengannya bagi membuktikan status sebenar pegangan saham FGVH yang selama ini didakwa diselubungi kontroversi.
"Saya mahu berdebat dengannya, jika beliau sudi, saya juga sudi mendedahkan status sebenar kedudukan Anak sama ada persatuan yang berdaftar atau tidak," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, mendesak Mazlan supaya menghentikan fitnah tidak bermoral kerana boleh menjejaskan kredibiliti Felda dan dikhuatiri fitnah ini dianggap benar oleh rakyat negara ini.
Ahmad turut mendedahkan Anak sebuah pertubuhan haram.
"Kalau selama ini kita diamkan saja perbuatan beliau, tapi lama-kelamaan apabila terlalu banyak fitnah yang didedahkan, kita sendiri tidak boleh mendiamkan diri lagi," tegasnya.
Sebelum ini, banyak tohmahan dinyatakan oleh Mazlan seperti dalam Harakah pada 10 September lalu bertajuk "400 juta unit saham FGVH dimiliki Genting".
Mazlan yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, jika benar saham Felda cukup kukuh untuk disenaraikan, mengapa ia tidak melonjak naik seperti yang digambarkan sebelum ini dan perlu menggunakan dana awam.
"Saya tegaskan di sini, Ahmad Maslan tak perlu nak takutkan saya dengan cara ugutan ini, saya tidak akan ambil pusing," tegasnya.
Tambah beliau, segala pendedahan yang dibuat selama ini berasaskan bukti sahih.
"Saya ada senarai kumpulan penasihat ekonomi undang-undang dan ekonomi sendiri dan kami boleh buktikan yang pendedahan yang dibuat sebelum ini adalah benar," katanya.
Katanya lagi, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah jika Ahmad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
"Ahmad Maslan hanya menggunakan isu basi ini sejak Anak ditubuhkan lagi, jadi marilah kita berdebat atau sekurang-kurangnya berdialog supaya saya boleh mendedahkan status sebenar Anak dan beliau juga boleh dedahkan berapa banyak pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Felda.
"Saya tidak mahu komen lebih mengenai status Anak, tetapi mahu memberi amaran kepada Ahmad Maslan jika mahu menuduh saya, sila muhasabah diri terlebih dahulu," katanya.