YALA - Empat pemborong buah-buahan termasuk seorang wanita ditembak mati oleh militan di selatan Thai, menurut jurucakap tentera, semalam.

Kolonel Pramote Promin berkata, mayat kesemua mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki mereka diikat di sebuah gudang di daerah Krong Pinang di wilayah Yala.

"Mereka turut dikenali penduduk setempat kerana sering datang ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan buah-buahan tempatan," katanya lagi.

Jumaat lalu, dua maut manakala 12 cedera selepas kumpulan pemisah menyerang lori membawa sukarelawan yang mahu mengikuti latihan penanaman padi di wilayah Pattani.

Sejak 2004, lebih 5,000 terkorban selepas kumpulan pemisah menyambung semula gerakan senjata mereka yang bertujuan  menuntut kemerdekaan di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.  - AFP