Thursday, February 7, 2013

Royalti: Husam ajak Mustapha dialog dalam forum terbuka



Salmah Mat Husain, 06 Feb 2013

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, akan menghantar surat pada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed, untuk mengadakan forum terbuka.

Menurutnya, forum terbuka yang bakal diadakan di mana-mana universiti akan membincangkan isu royalti yang telah dibohongi Mustapha, bersesuaian dengan pertemuan beliau bersama mahasiswa yang mengulas itu berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di Kota Darulnaim, di sini tengahari tadi.

“Saya juga difahamkan Tok Pa ke universiti membohongi mahasiswa berhubung royalti.

“Saya nak cadangkan pada Datuk Pa, universiti ni tempat intelektual, kita boleh adakan forum secara ilmiah, jadi saya minta dia menghubungi mana-mana universiti supaya mengadakan forum terbuka antara saya dan Tok Pa,”ujarnya.

Katanya, dengan itu perbincangan cara ilmiah dapat dilakukan, di mana masing-masing dapat mengeluarkan hujjah.

“Dia boleh bangkang hujah saya, saya bagi hujah dan dia boleh bantah hujah saya. Orang ramai ni (penonton) adalah golongan cerdik pandai.

“Universiti adalah tempat yang baik untuk pertukaran pendapat secara terbuka, isu royalti isu terbuka, isu rakyat. Jadi Datuk Pa jangan berselindung, buat serang hendap senyap-senyap tak berani nak berdepan,”ujarnya.

Husam memberitahu, sekiranya Mustapha tidak sudi berforum dengannya, beliau akan mengambil alih tugas itu untuk memohon dengan pihak universiti supaya memberi ruang untuknya, sebagaimana universiti memberi ruang pada menteri itu untuk bertemu mahasiswa.

Jelasnya, universiti juga tidak patut menghalang kemasukkannya ke tempat itu, memandangkan beliau juga pemimpin kerajaan.

“Saya sebagai exco kerajaan Kelantan telah dipilih oleh rakyat, dan pemilihan serta perlantikan saya juga adalah sah,”ujarnya.

Tegasnya, undang-undang negara turut mengiktiraf kedudukannya sebagai anggota exco kerajaan negeri dan Tok Pa sebagai menteri kabinet.

Jadi, tambahnya status keduanya adalah sama dari segi layanan demokrasi, mahasiswa boleh dengar ucapan Tok Pa dan tidak ada sebab mereka tidak dibenarkan mendengar ucapan wakil dari Pakatan Rakyat.

“Hari ini saya akan menulis surat pada Datuk Pa berhubung cadangan forum bersama itu untuk mendapat maklumat berhubung persetujuan atau sebaliknya.

“Sekiranya beliau tidak bersetuju, saya juga akan menulis surat pada universiti untuk mengadakan program pertemuan sebagaimana Datuk Pa dengan mahasiswa,”ujarnya.

No comments:

Post a Comment