Nasharudin Mat Isa
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mendakwa bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sengaja menimbulkan kekeliruan berhubung status keahliannya dalam parti itu walhal secara jelas dalam surat diterima semalam menyatakan beliau hanya digugurkan sebagai anggota Majlis Syura.

Salahuddin berkata, Ahli Parlimen Bachok itu sepatutnya tahu perkara terbaik yang beliau harus lakukan kepada parti, bukannya menimbulkan persepsi negatif sehingga boleh menjejaskan nama baik Pas.

“Beliau (Nasharudin) sendiri yang menimbulkan kekeliruan itu, sama ada keliru atau tidak, itu terpulang kepada beliau.

“... dia yang keliru (status keahlian dalam Pas), Majlis Syura sudah putuskan beliau bukan lagi ahli majlis itu,” kata beliau yang dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian sebagai mengulas Nasharudin malam tadi yang keliru dengan status keahliannya dalam Pas.

Nasharudin mendakwa wujud sedikit konflik mengenai perkara itu, berdasarkan kenyataan berbeza antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

"Mursyidul Am kata dengan pemecatan daripada Majlis Syura Ulama, saya automatik dipecat sebagai ahli tetapi presiden kata saya masih ahli,” katanya sambil mengakui beliau sudah menerima surat rasmi pemecatannya semalam sebagai anggota Majlis Syura Ulama Pas selepas selepas dipecat kira-kira dua minggu lalu.

Nasharudin berkata surat tersebut antara lain menyebut pemecatannya diputuskan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama yang berlangsung pada 13 Januari lepas kerana melanggar beberapa ketetapan yang dibuat majlis berkenaan.

"Saya tak tahu apa yang saya langgar, mungkin sebab saya buat beberapa kenyataan media secara terbuka dan pendirian saya dalam isu-isu terkini berbeza dengan pendirian parti," katanya.

Ditanya tentang keahlian Nasharudin dalam Pas, beliau berkata, di peringkat kepimpinan Pas, mereka tidak pernah membincangkan perkara tersebut, sebaliknya lebih menumpukan kepada persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Dia masih ahli Pas, itu kita tidak nafikan... kami tidak pernah membincang hal itu, malah tidak pernah mempertikaikan keahliannya dalam Pas.

“... kita lebih banyak membincangkan tentang persiapan dan persediaan jentera serta ahli Pas bagi menghadapi PRU13 akan datang,” ulasnya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang dihubungi juga mengesahkan perkara itu sambil menyifatkan kekeliruan tidak timbul susulan perbezaan kenyataan antara Nik Aziz dan Abdul Hadi.

“Dalam rekod kami (Ibu Pejabat Pas), Nasharudin masih ahli Pas yang sah,” katanya secara ringkas yang enggan mengulas lanjut lain-lain isu berbangkit.