Thursday, February 7, 2013

Cadang perintah berkurung di selatan Thai



BANGKOK 6 Feb. - Thailand akan membentangkan cadangan pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam di wilayah selatan negara ini pada Jumaat minggu depan.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Chalerm Yubamrung (gambar) berkata, beliau akan membentangkan cadangan itu pada mesyuarat jawatankuasa bagi pelaksanaan dasar dan strategi untuk menyelesaikan masalah di wilayah sempadan di selatan Thailand, 15 Februari ini.
Katanya, perintah berkurung itu akan dilaksanakan di lokasi biasa berlakunya serangan oleh kumpulan pemisah.
''Satu perintah berkurung akan dicadangkan di beberapa kawasan seperti daerah Krong Pinang dan Yaring.
''Ia akan dibangkitkan semasa perbincangan dengan jawatankuasa itu. Oleh itu kami akan melihat statistik lokasi paling kerap berlaku keganasan,'' katanya.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan sendiri oleh Chalerm dijadual mengadakan perbincangan pada Jumaat depan bagi menggariskan operasi untuk menyelesaikan masalah pemberontakan di wilayah selatan yang bergolak.
Cadangan Chalerm melaksanakan perintah berkurung itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan bersama polis di wilayah selatan Thailand.
Perintah itu dipercayai mampu mengurangkan insiden keganasan. Kerajaan pernah melaksanakan perintah tersebut di kawasan bergolak, namun ia ditentang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC).
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembunuhan di daerah Krong Pinang membabitkan pembeli buah dari Rayong, semalam, Chalerm mendakwa ia dilakukan oleh kumpulan pemisah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130207/lu_04/Cadang-perintah-berkurung-di-selatan-Thai#ixzz2KDjKAhFD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment