Sunday, February 10, 2013

55 maut dalam serangan



Pemberontak Syria menunaikan solat di kawasan pergunungan Jabal al-Turkman sambil diawasi sebuah kereta kebal di wilayah utara Latakia, Syria pada 5 Februari lalu. - AFP
BEIRUT 7 Feb. - Sekurang-kurangnya 55 maut dalam tempoh 24 jam di Damsyik, selepas tentera Syria meningkatkan serangan ke atas kubu pemberontak, serangan yang masuk hari kedua berturut-turut sejak semalam.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) berkata, antara yang terbunuh adalah lima orang awam, tiga daripadanya wanita, maut akibat bedilan mortar yang mengenai kawasan kediaman sementara mereka di khemah pelarian Yarmuk, selatan Damsyik.
Semalam pertubuhan itu melaporkan, tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad melancarkan serangan hebat ke atas kubu pemberontak di pinggir Damsyik, manakala penduduk mendakwa, serangan itu merupakan yang paling buruk berlaku beberapa bulan kebelakangan ini.
Awal pagi ini, SOHR menyatakan sekurang-kurangnya 19 orang awam, 28 pemberontak dan lapan tentera Syria terbunuh sejak serangan itu dilancarkan semalam, yang ditumpukan di selatan dan timur pinggir Damsyik.
Laporan itu turut menyatakan pemberontak menyerang pusat kawalan yang terletak antara daerah timur laut Qaboon dan Dataran Abassid, semalam, mengundang pertempuran hebat di antara kedua-dua pihak.
"Serangan itu bertujuan meluaskan kuasa pemberontak di Daraya," kata aktivis pembangkang, Omar Shakir, merujuk kepada kawasan barat daya Damsyik, yang berterusan menjadi serangan tentera sejak beberapa bulan lalu.
SOHR turut melaporkan tentera Syria memperkukuh pasukan mereka di Daraya, lokasi strategik berdekatan pangkalan tentera udara Al-Mazzeh, dalam usaha kerajaan mengusir pemberontak dari Damsyik.
Pertubuhan itu berkata, kereta kebal tentera membedil daerah Jobar timur dan Tadamun, Assali, Qadam serta Al-Hajar al-Aswad di selatan Damsyik, sepanjang malam tadi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130208/lu_01/55-maut-dalam-serangan#ixzz2KQ3U5f7g
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment