Sunday, February 10, 2013

Kerajaan daripada golongan teknokrat



Penunjuk perasaan Tunisia bertempur dengan polis antirusuhan di luar bangunan Kementerian Dalam Negeri selepas mereka berang dengan kematian pemimpin pembangkang terkemuka negara ini, Chokri Belaid, kelmarin. - REUTERS
TUNIS 7 Feb. - Perdana Menteri Tunisia hari ini berjanji untuk membentuk kerajaan daripada golongan teknokrat sebelum menjelangnya pilihan raya akan datang.
Ini berikutan demonstrasi berdarah dan serangan terhadap pejabat-pejabat parti pemerintah selepas pembunuhan ketua kumpulan pembangkang, Chokri Belaid (gambar).
Perdana Menteri, Hamadi Jebali berkata, beliau akan membentuk kerajaan baharu yang ditadbir golongan bukan politik ekoran kes pembunuhan Belaid yang ditembak mati di luar rumahnya di Tunis, semalam.
"Saya membuat keputusan untuk membentuk kerajaan baharu yang tidak melibatkan penggabungan parti politik.
"Pentadbiran baharu ini diberi mandat terhad untuk menguruskan urusan dalaman negara sehingga pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat," katanya.
Namun, Hamadi tidak menjelaskan sama ada beliau akan membubarkan barisan kepimpinan yang sedia ada, serta tidak menetapkan tarikh untuk melakukan rombakan pentadbiran tersebut, yang akan diumumkan pada perhimpunan kebangsaan.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri melaporkan, seorang anggota polis terbunuh selepas terkena balingan batu oleh sekumpulan penunjuk perasaan di Tunis.
Jelas kementerian itu, penunjuk perasaan yang berang dengan insiden pembunuhan Belaid, bertindak membina penghadang jalan di tengah bandar Tunis dan pertempuran juga berlaku dengan pihak polis.
Sebuah ambulans yang membawa jenazah Belaid ke pusat bandar turut diiringi beribu-ribu penyokongnya yang mahu melindungi kenderaan tersebut.
Empat parti pembangkang termasuk Parti Barisan Popular pimpinan Belaid menuduh Menteri Dalam Negeri, Ali Laraydeh bertanggungjawab atas pembunuhan Belaid dan mahu beliau dipecat.
Seorang daripada pemimpin parti pembangkang, Nejib Chebbi berkata, Ali wajar dipecat kerana beliau tahu Belaid menerima ugutan sebelum ini namun tiada tindakan daripada pihak kementerian untuk melindunginya.
Keempat-empat pemimpin parti pembangkang terbabit turut sepakat untuk memboikot perhimpunan kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130208/lu_02/Kerajaan-daripada-golongan-teknokrat#ixzz2KQ4YlTbE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment