Sunday, February 10, 2013

Militan guna taktik serangan berani mati



GAO, Mali, 9 Feb - Seorang militan Islam meletupkan dirinya di utara Mali, semalam, kejadian pertama seumpamanya di negara ini, ketika dua kumpulan tentera yang berseteru bertempur di Bamako, ibu negara Mali.
Penyerang berani mati itu menaiki motorsikal sehingga ke tempat pemeriksaan tentera di Gao, bandar terbesar di utara negara ini yang baru ditawan semula oleh pihak tentera daripada kumpulan militan.
''Seorang anggota militan meletupkan dirinya menyebabkan dia terkorban dan seorang tentera cedera,'' kata seorang pegawai.
Ia merupakan satu taktik terbaru serangan gerila sebagai reaksi kepada campur tangan tentera Perancis di negara ini, yang berjaya menawan bandar oasis Tessalit, sebuah bandar strategik daripada militan Islam, semalam.
Pemuda Tuareg itu, yang memakai pakaian seperti seorang pegawai separa tentera, turut membawa bom yang lebih besar yang gagal meletup.
Jurucakap Movement Oneness and Jihad di Barat Afrika (MUJAO) mengakui bertanggungjawab melancarkan serangan berani mati itu.
MUJAO merupakan satu daripada tiga kumpulan Islam yang menawan utara Mali selama 10 bulan.
Sementara itu, tercetus pertempuran antara dua kumpulan dalam pasukan tentera Mali di Bamako.
Pertempuran berlaku selepas pasukan tentera yang setia kepada bekas Presiden, Amadou Toumani Toure yang disingkir dalam rampasan kuasa tentera pada Mac 2012 melepaskan tembakan ke udara sebagai membantah arahan menyerapkan mereka ke dalam unit lain yang akan dihantar ke barisan depan.
Dua remaja terbunuh dan 13 lagi cedera dalam pertempuran di kem tentera itu, lapor media tempatan.
Presiden sementara, Dioncounda Traore mengarahkan pasukan tentera mematahkan pertempuran itu.
Pertempuran itu membayangi ketibaan 70 pelatih tentera EU, kumpulan pertama 500 anggota tentera yang akan ditugaskan untuk membangunkan semula dan melatih pasukan tentera Mali. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_04/Militan-guna-taktik-serangan-berani-mati#ixzz2KRwF5LdA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment