Sunday, February 10, 2013

Tiga ditahan terlibat militan



KUALA LUMPUR 7 Feb. - Polis hari ini menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat merekrut rakyat tempatan dalam kegiatan militan sebelum dihantar ke luar negara bagi menjalankan misi keganasan.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mereka kini ditahan untuk membantu siasatan polis.
"Ketiga-tiga mereka yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu disyaki menjadi dalang utama dalam merekrut beberapa rakyat Malaysia bagi tujuan aktiviti keganasan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail yang ditemui dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini petang ini, memberitahu, ketiga-tiga tahanan tersebut akan dibawa ke Mahkamah Ampang, pagi esok.
Dalam pada itu, menurut sumber, salah seorang yang ditahan ialah Yazid Sufaat, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pernah ditahan pada Disember 2001 sebelum dibebaskan tujuh tahun kemudian.
Katanya, penahanan Yazid hari ini dibuat mengikut Seksyen 4(1), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 kerana disyaki mempromosi kegiatan keganasan.
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 ialah akta baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan tahun lalu.
"Yazid ditahan Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Kaunter Terorisme) ketika sedang bekerja di sebuah kantin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Turut ditahan ialah pekerjanya, Mohd. Hilmi Hasim.
"Pasukan forensik juga telah membuat pemeriksaan di rumah Yazid di Selangor pukul 1.30 petang sejurus penahanannya dan mengambil beberapa buah buku untuk membantu siasatan.
"Seorang lagi ialah Halimah Husin yang ditahan di rumahnya yang juga di Selangor, dipercayai kerana mempunyai hubungan dengan kegiatan sama sejak dua tahun lalu," katanya.
Sumber berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI), Allahyarham Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar, 26, yang ditembak mati pihak berkuasa Filipina Disember lalu.
Polis sebelum itu telah mengenal pasti saki-baki anggota kumpulan pengganas sama yang disertai Mohd. Noor Fikrie.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130208/je_01/Tiga-ditahan-terlibat-militan#ixzz2KQA7Bblh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment