Sunday, February 10, 2013

KDN sahkan tiga ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan



PUTRAJAYA 7 Feb. - Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penahanan tiga rakyat tempatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ketiga-tiga individu tersebut ditangkap dalam satu operasi di Selangor dipercayai terlibat dengan kegiatan militan dan keganasan di dalam dan luar negara.
“Tetapi butiran ini masih begitu sensitif untuk saya umumkan.
“Kalau sekiranya pihak polis hendak maklumkan lebih daripada apa saya hendak umumkan ini, itu terserah kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Seramai 204 kakitangan kementerian itu menerima bantuan tersebut.
Hishammuddin berkata, kesemua yang ditahan itu bakal dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh yang ditetapkan dan tugas berkenaan akan dijalan oleh Peguam Negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan tersebut merupakan salah satu pendekatan Pelan Transformasi Politik (PTP) dalam usaha menjaga kepentingan orang ramai dan keselamatan negara.
“Sebab itu tuduhan mengenai pemansuhan ISA tiada asas, kerana akta baru ini jelas memberi cukup kuasa paling asas untuk memastikan keselamatan negara jadi keutamaan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihak kementerian akan memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai Akta Perhimpunan Aman, pemansuhan ordinan-ordinan darurat, buang daerah dan bermacam lagi di bawah pelan transformasi.
“Ini perlu dijelaskan kerana merupakan tindakan yang berani diambil oleh pucuk pimpinan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, setiap tindakan yang dilaksanakan adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan bukan didorong oleh populariti dan retorik


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130208/je_02/KDN-sahkan-tiga-ditahan-di-bawah-Akta-Kesalahan-Keselamatan#ixzz2KQAMQ3Nm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment