Sunday, February 10, 2013

Jet Syria sekat pemberontak



SUASANA lengang di sebatang jalan dengan bangunan yang ranap akibat dibedil dengan meriam oleh tentera kerajaan Syria di kawasan kediaman Zamalka di pinggir Damsyik, kelmarin. - REUTERS
AMMAN 8 Feb. - Jet perang Syria melancarkan serangan ke atas laluan utama di Damsyik, semalam, serangan yang masuk hari ketiga berturut-turut dalam usaha tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad menyekat kemaraan pemberontak ke tengah ibu negara Syria itu.
Komander pemberontak, Aby Ghazi berkata, tentera Syria bersungguh-sungguh ingin mengukuhkan kedudukan mereka dengan menguasai laluan utama tersebut, yang merupakan garisan pertahanan utama di ibu negara.
Menurutnya, penguasaan pemberontak kini semakin hampir ke Dataran Abbaside, kawasan utama di Damsyik, lokasi tentera Syria menjadikan stadium bola sepak sebagai berek tentera.
Sementara itu, di New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk keras tindakan Assad yang menjadikan alasan menentang keganasan untuk membunuh orang awam dan menyerang perkampungan-perkampungan di Syria.
Menurutnya, krisis di Syria bukan berpunca daripada keganasan, namun tindakan Assad yang berterusan membunuh rakyatnya sendiri menyebabkan elemen pengganas mengambil kesempatan dalam konflik yang berlaku.
"Dia (Assad) sepatutnya sudah lama menamatkan keganasan ini dan rundingan politik sepatutnya sudah lama dimulakan," katanya.
Ki-moon turut menyambut baik cadangan pemimpin pembangkang, Mouaz al-Khatib bagi mengadakan rundingan dan berharap kerajaan Syria menerima pelawaan itu.
Di Washington, Amerika Syarikat (AS), beberapa pemimpin Pentagon memberitahu Kongres, semalam bahawa mereka menyokong rancangan bagi membekalkan senjata kepada pemberontak di Syria oleh Jabatan Negara AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), namun Presiden AS, Barack Obama berkeras tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Pentadbiran Obama, mengehadkan sokongan itu dengan hanya memberi bantuan bukan senjata kepada pemberontak Syria, yang hanya menerima senjata daripada negara-negara seperti Qatar dan Arab Saudi, serta tidak dilengkapi senjata canggih berbanding tentera pro-Assad.
Senator John McCain, daripada Parti Republikan, mengepalai cadangan penglibatan AS di Syria dan menegur tindakan Obama yang tidak mahu AS terlibat dalam konflik di negara itu. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130209/lu_01/Jet-Syria-sekat-pemberontak#ixzz2KQ1Y32Or
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment