Wednesday, April 10, 2013

Lagi pertempuran sengketa agama di Mesir



Seorang lelaki yang cedera dibawa mendapat rawatan selepas satu pertempuran di antara dua puak itu di luar Gereja Ortodoks Kristian Qibti di Abbassiya, tengah ibu negara ini, kelmarin. - AFP
KAHERAH 8 April - Sebanyak dua lagi penduduk Mesir terbunuh, manakala sebanyak 89 yang lain cedera dalam satu pertempuran baharu di luar Gereja Ortodoks Kristian Qibti di Abbassiya, tengah ibu negara ini, semalam.
Kekacauan itu berlaku selepas tamat upacara pengebumian empat penganut Kristian yang terbunuh dalam keganasan dengan penganut Islam pada Jumaat lalu.
Agensi berita tempatan, MENA melaporkan, sekurang-kurangnya 89 orang cedera dalam pergaduhan selama beberapa jam selepas penganut Kristian diserang dengan batu dan bom petrol di luar gereja.
Lelaki yang terbunuh dikenali sebagai Mahrous Hana Tadros, 30 tahun manakala identiti mangsa kedua masih belum dikenal pasti.
Polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan, namun pertempuran terus berlarutan sehingga petang.
MENA melaporkan seramai 10 orang anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.
Presiden Mesir, Mohammed Mursi mengutuk keganasan terbaharu itu dan menghubungi Biskop Kristian Qibti, Tawadros II dan menyatakan serangan itu ibarat serangan ke atasnya.
Menurut wartawan Reuters di lokasi, penganut Kristian Qibti mula melaung-laungkan slogan antikerajaan dan melempar polis dengan batu di luar gereja sejurus tamat majlis pengebumian itu.
Beberapa penunjuk perasaan dipercayai penganut Kristian turut memecahkan enam kereta persendirian dan membakar dua daripadanya, sekali gus membangkitkan kemarahan penduduk Islam dari kawasan perumahan berhampiran.
Menurut saksi, mereka bertindak melontar batu dan bom petrol ke arah penunjuk perasaan Kristian selepas merasa tersinggung dengan slogan kumpulan tersebut pada majlis pengebumian itu yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130409/lu_04/Lagi-pertempuran-sengketa-agama-di-Mesir#ixzz2Q4kV7MT6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment